PETALING JAYA: Dua jaringan Bergson Da Silva memastikan Johor Darul Ta’zim (JDT) melakar kemenangan keempat berturut-turut dengan menumpaskan Terengganu City 2-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri malam ini.
Kemenangan itu bagaimanapun tidak hadir dengan mudah, malah Terengganu memberi tentangan hebat.
Harimau Selatan bermula agresif sebaik sahaja wisel ditiupkan dan mendahului 1-0 seawal minit ketujuh selepas tandukan Bergson gagal ditangkap penjaga gol Terengganu, Rahadiazli Rahalim.
Skuad Penyu menunjukkan kesungguhan untuk bangkit daripada kekalahan 0-3 kepada Petaling Jaya City (PJ City), Rabu lalu apabila menyamakan kedudukan menerusi Sherman pada minit ke-31.
Sherman menghukum kegagalan Farizal Marlias menangkap percubaan Manuel Gelito Ott dengan kemas.
JDT bagaimanapun tidak menunggu lama untuk kembali di depan apabila Bergson menyudahkan hantaran Arif Aiman Hanapi dua minit berselang untuk kedudukan 2-1.
Terengganu berpeluang untuk sekali lagi menyamakan kedudukan namun rembatan Sherman pada minit ke-40 bagaimanapun hanya menggegarkan gawang tuan rumah. – UTUSAN ONLINE