KLUANG: Bahagian Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan penerbangan ihsan bagi membantu pemindahan organ buah pinggang dari Hospital Enche’ Hajjah Khalsom, di sini ke Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Malaysian Institute of Aviation Technology (MIAT) Subang, Selangor.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, JBPM Johor, Penguasa Kanan Bomba I, Muhammad Tarmizi Md. Jaafar berkata, operasi itu menggunakan helikopter jenis Mi-17.
Katanya, keanggotaan operasi melibatkan seramai sembilan orang serta tiga anggota pasukan perubatan bersama muatan peralatan seberat 40 kilogram.
“Misi ini dilaksana susulan permohonan diterima Pusat Transplan Nasional, Hospital Kuala Lumpur (HKL) daripada penderma organ di daerah ini. Keluarga pesakit yang disahkan mati otak telah bersetuju menderma organ buah pinggang bagi menyelamatkan nyawa pesakit lain yang memerlukan.
“Keperluan segera dalam misi ini amat kritikal memandangkan organ perlu dipindahkan
dalam tempoh masa singkat bagi mengekalkan fungsi dan kualitinya sebelum dipindahkan
kepada pesakit di Hospital Kuala Lumpur dan Hospital Selayang,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.
Tambah beliau, misi tersebut dikategori sebagai operasi Medical Evacuation yang memerlukan tindakan pantas dan koordinasi antara agensi bagi memastikan organ didermakan berada dalam keadaan optimum penerima.
“Kerjasama erat antara Kementerian Kesihatan dan JBPM ini mencerminkan
keprihatinan serta kecekapan agensi kerajaan dalam menyelamatkan nyawa melalui usaha pendermaan organ.
“Misi ini bukan sahaja memberi harapan baharu kepada pesakit, malah menjadi bukti bahawa semangat kemanusiaan dan pengorbanan terus subur dalam kalangan masyarakat Malaysia,” katanya lanjut.-UTUSAN










