Malaysia tingkatkan keupayaan sistem amaran awal cuaca

Malaysia tingkatkan keupayaan sistem amaran awal cuaca

ARTHUR JOSEPH KURUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan kini mempertingkat keupayaan sistem amaran awal cuaca melalui penggunaan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI) dan analitik data raya.

Perkara itu merupakan antara komitmen bagi memperkukuh sistem pemantauan dan amaran awal cuaca bagi menghadapi ancaman perubahan iklim yang semakin ketara.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, sains meteorologi memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan melindungi nyawa dan harta benda rakyat daripada risiko cuaca ekstrem.

Katanya, penggunaan teknologi AI dan analitik data raya membantu mempercepat penyampaian maklumat berkaitan banjir kilat, ribut tropika dan cuaca buruk.

“Data meteorologi yang kita hasilkan bukan sekadar angka, tetapi merupakan panduan keselamatan yang menentukan kesejahteraan rakyat kita.

“Saya menyeru seluruh warga Malaysia untuk bersama-sama memupuk kesedaran terhadap kelestarian alam dan sentiasa peka terhadap maklumat cuaca rasmi.

“Setiap langkah persediaan yang kita ambil hari ini adalah pelindung bagi masa depan generasi akan datang,” katanya menerusi kenyataan sempena sambutan Hari Meteorologi Sedunia 2026.

Menurut beliau, kerajaan melalui Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam serta Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) turut memberi tumpuan kepada usaha penyelidikan impak perubahan iklim bagi menyokong penggubalan dasar adaptasi yang lebih berdaya tahan.

“Sambutan tahun ini merupakan satu peringatan penting mengenai peranan strategik sains meteorologi dalam melindungi nyawa serta harta benda rakyat daripada ancaman cuaca ekstrem yang semakin kerap berlaku akibat perubahan iklim global.

“Komitmen ini membuktikan dedikasi kementerian dalam memastikan tiada rakyat yang terpinggir daripada menerima perlindungan keselamatan iklim yang sewajarnya, selaras dengan matlamat pembangunan lestari negara,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN