LONDON: Selepas 19 tahun mengambil alih Chelsea dan membawa Blues ke tahap tertinggi, Roman Abramovich mungkin melepaskan kelab kesayangannya dengan sekurang-kurangnya tiga pihak menyatakan minat membeli juara Eropah itu.
Pada ketika ramai kenalan rapat Presiden Rusia, Vladimir Putin telah dikenakan sekatan, Abramovich tidak menerima sebarang tindakan tetapi berdepan desakan di United Kingdom (UK) agar asetnya dibekukan.
Bagi mengelak Chelsea terkena tempias atas sekatan yang mungkin dikenakan terhadapnya gara-gara pencerobohan Rusia ke atas Ukraine, Abramovich telah menyerahkan tugas pentadbiran kepada enam pemegang amanah yayasan amal kelab, Sabtu lalu, namun usaha itu gagal.

Abramovich sebelum ini telah menolak bidaan 2.2 bilion (RM12.3 billion) dan menegaskan Chesea bukan untuk dijual, namun hartawan Rusia itu kini sedia menjual rumah agamnya di Taman Istana Kensington London tidak lama lagi.
Dia juga dikatakan meletakkan AS$4 bilion (RM17 bilion) sebagai harga terendah untuk membida Blues.
Penyokong Chelsea merayu Abramovich agar tidak meninggalkan Blues dan melabelkannya sebagai pemilik kelab bola sepak terbaik.
Akhbar Britain, The Telegraph pula mendakwa Chelsea terhutang 1.5 bilion pound (RM8.4 billion) kepada syarikat milik Abramovic, Fordstam, namun dia tidak menunjukkan tanda-tanda untuk menuntut pembayaran balik.
Bagaimanapun penjualan kelab akan menjadi proses yang rumit, malah dijangka tidak akan dapat diselesaikan dalam tempoh yang cepat.– AGENSI