PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merafak sembah ucapan tahniah sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang disambut hari ini.
Anwar turut menzahirkan doa agar Seri Paduka Baginda serta seluruh Kerabat Diraja Johor sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah Allah selain dikurniakan kesihatan, kesejahteraan dan kedaulatan yang berpanjangan.
“Mendoakan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Ta’ala semoga Tuanku serta seluruh Kerabat Diraja sentiasa dilimpahi rahmat dan hidayah-Nya serta berada dalam keadaan sihat, sejahtera dan penuh kedaulatan.
“Allah peliharakan Sultan,” katanya ringkas menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut merafak sembah ucapan tahniah sempena sambutan berkenaan.
“Daulat Tuanku.
“Sembah takzim daripada patik bersama seluruh ahli keluarga, kakitangan di Pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta seluruh kepemimpinan dan ahli-ahli UMNO,” katanya. – UTUSAN










