PENDANG: Kira-kira tujuh individu termasuk kanak-kanak didakwa mengalami kecederaan dipercayai akibat terkena mercun bola dalam kejadian di sini, kelmarin.
Kejadian tersebut tular di Facebook dan WhatsApp sejak semalam yang memaparkan beberapa mangsa mengalami kecederaan pada muka dan badan selain bahagian but sebuah kereta kemik.

Ketua Polis Daerah Pendang, Superintenden Rodzi Abu Hassan berkata, kejadian difahamkan berlaku pada malam raya dan setakat ini tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian itu.
“Kesemua mangsa dibawa ke Bahagian Kecemasan Hospital Pendang untuk mendapatkan rawatan dan tiada laporan daripada hospital atau mana-mana pihak diterima setakat ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurutnya, pihak polis telah ke hospital berkenaan hari ini untuk mendapatkan butiran lengkap dan laporan maklumat awal akan dibuat bagi tujuan siasatan. – UTUSAN










