Aliran trafik keluar Kelantan bergerak perlahan

Aliran trafik keluar Kelantan bergerak perlahan

ALIRAN trafik bergerak perlahan di Bandar Utama, Gua Musang, Kelantan menuju ke Pahang susulan pertambahan jumlah kenderaan hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Aliran trafik di laluan utama Gua Musang-Kuala Krai dan Gua Musang-Kuala Lipis bergerak perlahan berikutan peningkatan jumlah kenderaan perantau yang pulang semula ke ibu kota selepas menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman.

Tinjauan mendapati, setakat pukul 1 petang ini, aliran trafik masih lagi terkawal meskipun jumlah kenderaan semakin bertambah.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo menjangkakan pergerakan pulang semula perantau ke ibu kota bermula hari ini selepas menyambut Hari Raya Aidilfitri di kampung halaman masing-masing.

Katanya, polis membuat persiapan awal bagi menghadapi peningkatan aliran trafik terutama di laluan utama keluar dari Kelantan.

“Orang ramai khususnya perantau dinasihatkan supaya merancang perjalanan dan mengatur masa dengan baik bagi mengelak kesesakan teruk.

“Bagi menghadapi kepulangan masyarakat Kelantan yang bekerja di luar negeri ini, kita menjangkakan pergerakan bermula hari ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Choon Foo berkata, polis akan melaksanakan kawalan dan penyuraian trafik secara berkala bagi memastikan aliran kenderaan lebih lancar.

Sementara itu, seorang pengguna jalan raya, Abdul Halim Ahmad, 40, berkata, kenderaan dilihat semakin bertambah menuju keluar Kelantan tetapi aliran trafik masih lagi terkawal.

Katanya, mereka sekeluarga dari Machang merancang perjalanan apabila bertolak pada waktu pagi bagi mengelak kesesakan.

“Saya mengambil laluan alternatif dari Temangan ke Kuala Krai bagi mengelak kesesakan.

“Kami sudah biasa berdepan dengan kesesakan jalan raya setiap tahun terutama ketika musim perayaan. Kami rela berdepan kesesakan kerana kami gembira dapat pulang dan beraya bersama ahli keluarga di kampung,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN