Kedai buku 58 tahun terbakar, kerugian cecah RM4 juta

Kedai buku 68 tahun terbakar, kerugian cecah RM4 juta

KADER Mohideen Basheer Ahmed dan adiknya, Asmah Basheer Ahmed melihat kedai buku yang berusia 58 tahun milik keluarganya yang musnah dalam kebakaran malam semalam. - UTUSAN/NOR SHAFIQAH MOHD. GHAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Sebuah kedai buku yang telah beroperasi selama 68 tahun musnah dalam kebakaran yang mengakibatkan kerugian dianggarkan mencecah RM4 juta di Jalan Dato’ Sheikh Ahmad, di sini, malam semalam.

Pengarah SBC Book Store & Stationary, Kader Mohideen Basheer Ahmed, 48, berkata, ketika kejadian, premis berkenaan kosong kerana semua pekerja dan ahli keluarganya pulang bercuti sempena Aidilfitri.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan telefon sebelum bergegas ke lokasi dan mendapati asap tebal memenuhi ruang kedai.

“Apabila kami tiba dan membuka premis, asap sudah berkepul-kepul dan keadaan tidak lagi selamat untuk dimasuki.

“Kami terpaksa menunggu pasukan bomba kerana api merebak dengan cepat,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Kader berkata, hampir keseluruhan premis dan barangan jualan musnah dalam kebakaran tersebut.

Menurutnya, kedai buku itu mempunyai nilai sentimental yang tinggi kerana telah diusahakan sejak 1958 oleh arwah datuknya sebelum diwarisi oleh ibu dan arwah bapanya, tetapi kini diuruskan bersama empat adik-beradiknya.

“Saya lahir dan membesar di sini. Dahulu konsepnya rumah kedai, atas rumah bawah kedai. Sejak kecil saya sudah berada dalam kedai buku, sebab itu saya jadi ‘ulat buku’.

“Emak saya masih belum tahu keadaan sebenar. Dia hanya dimaklumkan kebakaran kecil sahaja. Saya masih fikir cara terbaik untuk beritahu supaya dia dapat terima dengan tenang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya selepas kira-kira 13 jam operasi pemadaman dijalankan.

“Orang lain sedang beraya, makan ketupat dan lemang, tetapi saya terpaksa berada di sini. Malam tadi pun saya tidak sempat makan. Mujur ada individu menghulurkan nasi bungkus dan kami makan di tepi jalan bersama anggota bomba. Saya pun belum berkesempatan pulang ke rumah,” katanya.

Tambahnya, walaupun sedih dengan kehilangan tersebut, dia reda menerima ketentuan yang berlaku.

“Memang sedih, tetapi sebagai orang Islam, kita perlu reda. Saya anggap ini sebagai sebahagian daripada ketentuan Ilahi,” katanya.

Komander Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan berkata, kebakaran berlaku kira-kira pukul 9 malam, namun tiada mangsa dilaporkan terlibat.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN