Bantu Harimau Malaya, turunkan lebih ramai pemain lokal - Utusan Malaysia

Bantu Harimau Malaya, turunkan lebih ramai pemain lokal

PASUKAN yang akan memulakan kempen Liga Malaysia esok diminta meletakkan kepentingan Harimau Malaya di depan apabila memilih pemain yang mengisi posisi utama.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Masalah yang dihadapi Harimau Malaya tidak akan selesai jika kelab-kelab tempatan masih gemar memberi kepercayaan kepada pemain import bagi mengisi posisi penting apabila Liga Malaysia (Liga M) musim 2022 membuka tirai esok.

Setiap pasukan Liga Super dibenarkan mendaftar lima ­import, manakala empat pemain luar dibolehkan untuk kelab yang bersaing dalam Liga Perdana.

Kebanyakan pasukan cende­rung meletakkan tonggak luar di posisi utama, terutama sera­ngan sehingga menyukarkan pemain tempatan mendapat minit permainan mencukupi.

Keadaan itu menyebabkan pemilihan skuad kebangsaan berdepan kesukaran, kata bekas jurulatih Harimau Muda, Azraai Khor Abdullah.

HARIMAU Malaya akan menentang Singapura dan Filipina dalam aksi persahabatan, hujung bulan ini.

Katanya, pasukan perlu memberi peranan lebih besar kepada pemain tempatan bagi memudahkan tugas Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan Gon memilih tonggak kebangsaan.

“Semua pasukan perlu memberi kerjasama kerana perlawanan-perlawanan Liga M yang berlangsung nanti akan turut ditonton jurulatih kebangsaan yang baharu. Dia dalam proses mencari pemain untuk aksi persahabatan Mac ini.

“Kalau pasukan terus membariskan ramai pemain import dalam satu perlawanan, ia akan memberi masalah yang sama kepada skuad kebangsaan iaitu kekurangan penyerang tempatan yang hebat.

HARIMAU Malaya memerlukan sokongan semua pihak untuk menghadapi Kelayakan Piala Asia 2023.

“Kehadiran ramai penyerang import sedikit sebanyak menjejaskan peluang pemain tempatan untuk mendapat lebih minit permainan dan menyerlah dalam liga.

“Kalau banyak pasukan menggunakan import, macam mana Pan Gon nak pilih pemain, jadi benda yang sama akan berulang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Malaysia dijadual bertemu Filipina pada 23 Mac, diikuti Singapura, tiga hari kemudian dalam aksi persahabatan di ­Singapura sebagai persiapan Kelayakan Piala Asia 2023 di Bukit Jalil, Jun depan.

AZRAAI KHOR ABDULLAH

Azraai percaya, tiba masanya peraturan Liga M diubah de­ngan mengurangkan kuota import bagi membolehkan anak tempatan mendapat lebih minit permainan.

“Saya melihat, perlu ada perubahan dalam sistem Liga M, mungkin mengurangkan daripada lima import kepada tiga seperti pada zaman saya.

“Pada awal 2000, sekurang-kurangnya ada pemain tempatan dapat beraksi bersama import di setiap posisi seperti pertahanan tengah dan penyerang,” jelasnya.

Azraai turut berharap semua pasukan melepaskan pemain yang diinginkan Pan Gon untuk skuad kebangsaan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya