KUALA PILAH: Dua pegawai utama Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun di pejabat Menteri Besar dinamakan calon gabungan parti politik itu untuk bersaing di dua kerusi penting Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 1 Ogos ini.
Mereka ialah Setiausaha Politik Menteri Besar, Nor Azman Mohamad dan Setiausaha Akhbar, Ahmad Shahir Mohd. Shah.
Nor Azman dicalonkan untuk DUN Sikamat, kerusi ditinggalkan oleh Aminuddin yang beralih ke DUN Linggi, manakala Ahmad Shahir ditugaskan untuk menamatkan penguasaan Pas di DUN Paroi.
Nor Azman, 47, yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Syariah Islamiah dari Universiti Al-Azhar Mesir adalah Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, manakala Ahmad Shahir, 41, lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Gunaan dengan Pengajian Islam dari Universiti Malaya adalah Setiausaha Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah).
Pencalonan dua pegawai utama Menteri Besar itu di kerusi penting yang menjadi perhatian di negeri ini mencerminkan keyakinan PH untuk menang dan kembali sebagai kerajaan negeri selepas PRN kali ini.
DUN Sikamat telah dimenangi oleh Aminuddin pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2008 tetapi sebagai pembangkang. Namun situasi itu berubah selepas PH menang dalam PRU 2018 dan Aminuddin dilantik sebagai Menteri Besar dan kekal sehingga kini.
Legasi yang ditinggalkan oleh Aminuddin bukan mudah untuk diteruskan oleh Nor Azman yang menganggap `bos’nya telah meninggalkan tanda aras yang tinggi di DUN Sikamat.
“Ia bukan perkara yang mudah dan saya juga tidak memandang mudah persaingan ini kerana Aminuddin telah meninggalkan tanda aras yang tinggi dalam khidmatnya kepada rakyat di Sikamat.
“Jadi saya perlu berusaha lebih keras untuk memastikan kebajikan masyarakat di Sikamat diteruskan selain memastikan DUN Sikamat menyumbang kepada pembentukan kerajaan PH selepas PRN ini kelak,” katanya ditemui selepas Majlis Pengumuman Calon PH PRN Negeri Sembilan ke-16 di Dataran Melang dekat Kuala Pilah semalam.
Untuk rekod, DUN Sikamat kini mempunyai 34,103 pengundi berdaftar dengan lebih 70 peratus adalah orang Melayu, Cina (19 peratus), India (8 peratus) dan etnik lain (2 peratus).
Sementara itu, Ahmad Shahir berdepan tugas berat menarik sokongan 64,998 pengundi di DUN Paroi yang kini disandang Kamarol Ridzuan Mohd. Zain yang juga Yang Dipertua Pas Kawasan Rembau.
Kamarol Ridzuan memenangi kerusi berkenaan pada PRN 2023 dengan majoriti 5,539 undi menewaskan calon dari Amanah dan bebas.
Pada PRU-14, Amanah memenangi kerusi berkenaan melalui Mohamad Taufek Abd. Ghani yang juga menduduki kerusi itu sebagai calon Pas pada PRU 2008.
Kerusi DUN Paroi akan menjadi perhatian utama sekali lagi dalam PRN kelak membabitkan perebutan antara kumpulan yang dianggap `islamik’.
Dalam pada itu, seorang lagi tokoh yang dikatakan dekat dengan Aminuddin ialah calon untuk DUN Ampangan, Datuk Muhammad Nazri Kassim.
Beliau ialah Pengarah Yayasan Negeri Sembilan (YNS), agensi penting di bawah kerajaan negeri yang banyak membantu anak-anak negeri ini mendapatkan pembiayaan pendidikan selepas peringkat persekolahan.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Keadilan Negeri Sembilan itu diberi peluang bertanding di kerusi DUN berkenaan menggantikan Tengku Zamrah Tengku Sulaiman yang menyandang jawatan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO negeri selepas PRN 2023.
Pada PRU 2023, Tengku Zamrah menang kerusi DUN tersebut dengan majoriti tipis 329 undi mengatasi calon dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan seorang lagi pemimpin yang berasal dari PKR, Datuk Mohamad Rafie Ab. Malek yang bertanding sebagai calon bebas.
DUN Ampangan adalah kerusi penting PKR yang mesti dipertahankan dalam PRN 1 Ogos ini.-UTUSAN










