KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan memutuskan sama ada kekal bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) atau lambangnya sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan, malam ini.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Malaysia, Muhammad Hilman Idham berkata, satu mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu akan diadakan malam ini di Ibu Pejabat Bersatu Malaysia.
Katanya, antara isu akan dibincang dan diputuskan dalam mesyuarat itu adalah penggunaan logo dalam PRN Negeri Sembilan tak lama lagi.
“Isu ini (penggunaan logo dalam PRN Negeri Sembilan), akan diputuskan dalam Mesyuarat MPT malam ini,” ringkasnya kepada Utusan Malaysia.
Mesyuarat MPT itu dijangka turut dihadiri Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sebelum ini, Utusan Malaysia difahamkan Bersatu akan menggunakan logo sendiri bagi menghadapi kempen PRN Negeri Sembilan yang bermula Sabtu ini.
Langkah itu antara kemungkinan yang relevan diambil selepas pucuk pimpinan parti mengambil kira keputusan PRN Johor Ke-16.
Situasi di Johor menyaksikan Perikatan Nasional (PN) terpecah dua, lantas mengelirukan pengundi terutama dalam kalangan orang Melayu, meskipun Bersatu, Pas, Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) dan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menggunakan logo sama di 33 kerusi ditandingi mereka.
Sumber mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Bersatu telah membeli 60 set Borang Pencalonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk 30 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal ditandingi di Negeri Sembilan.
Katanya, sekiranya menggunakan logo sendiri, Bersatu akan memasuki gelanggang bersama parti-parti dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).
“Dalam keadaan sekarang, kemungkinan besar Bersatu akan menggunakan logo sendiri. Kami ambil kira situasi di Johor baru-baru ini apabila seolah-olah ada ‘PN A’ dan ‘PN B’, ini buatkan golongan pengundi keliru.
“Jika begitu strategi yang digunakan adalah lebih baik Bersatu guna lambang sendiri. Pertimbangan ini sudah lama dibincangkan, bagaimanapun keputusan PRN Johor lalu menguatkan lagi arah tujuan Bersatu di PRN Negeri Sembilan,” katanya.-UTUSAN










