GEORGE TOWN : Tidak berpuas hati dengan urusan pemeriksaan oleh pegawai Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menjadi punca seorang individu dipercayai ejen mengugut untuk menembak anggota penguat kuasa itu ketika bertugas di Pelabuhan Klang, Selangor.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd. Zain berkata, berdasarkan semakan awal, kejadian itu dipercayai berlaku selepas suspek didakwa tidak memberikan kerjasama kepada pegawai bertugas pada peringkat awal pemeriksaan.
Mohd. Shuhaily berkata, dalam hal ini, pegawai AKPS terbabit hanya menjalankan tanggungjawab mengikut prosedur operasi yang ditetapkan sebelum berlaku salah faham dengan suspek.
‘Apabila kita semak, suspek itu sendiri agak kurang memberikan kerjasama pada peringkat awal. Pegawai kita hanya meneruskan tugas dan berlaku sedikit salah faham di situ,” katanya selepas menghadiri Persidangan Ke-17 Persatuan Kriminologi Asia (ACS) Sorotan Kontemporari Trend dan Corak Jenayah: Impak Kriminologi di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan, agensi terbabit membuat laporan polis berhubung tindakan individu yang dipercayai ejen, membuat ugutan terhadap pegawai penguat kuasanya.
Mohd. Shuhaily berkata, suspek kemudian bertindak mengeluarkan ugutan secara terbuka terhadap pegawai berkenaan dan kejadian itu turut didengari oleh beberapa individu lain yang berada di lokasi.
”Susulan kejadian tersebut, AKPS segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan dan tindakan sewajarnya diambil terhadap suspek,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya tidak akan mengulas lanjut mengenai tindakan yang bakal diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana siasatan kini berada di bawah bidang kuasa mereka.
”Dengan adanya pengecaman, mungkin tangkapan akan dibuat oleh pihak PDRM. Namun, apapun, saya tidak boleh mengulas tindakan pihak polis.
“Siasatan sedang dilaksanakan oleh PDRM dan sekiranya ada pertanyaan lanjut, saya rasa pihak PDRM adalah agensi yang sepatutnya ditanya mengenai perkara itu,” katanya.
Mengulas mengenai keperluan melengkapkan pegawai AKPS dengan senjata api susulan insiden ugutan berkenaan, beliau mengakui perkara itu wajar dipercepatkan.
‘Sepatutnya begitu dan saya rasa pihak kementerian sedang berusaha untuk melaksanakan perolehan tersebut. Itu sahaja yang saya boleh komen,” katanya.-UTUSAN










