Kementerian Perpaduan lancar dua pelan strategik perkasa perpaduan, transformasi digital

Kementerian Perpaduan lancar dua pelan strategik perkasa perpaduan, transformasi digital

AARON AGO DAGANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara melancarkan dua pelan strategik bagi memperkasa perpaduan dan pembinaan bangsa serta memacu agenda transformasi digital dalam tempoh lima tahun akan datang.

 

Dua pelan tersebut ialah Pelan Strategik Kementerian Perpaduan Negara (KPN) 2026-2030 dan Pelan Strategik Pendigitalan KPN 2026-2030 yang akan menetapkan hala tuju kementerian untuk tempoh berkenaan.

 

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, penggubalan Pelan Strategik KPN 2026-2030 yang merangkumi lima teras, 12 strategi dan 33 inisiatif itu dibuat berlandaskan aspirasi untuk memperkasakan nilai kebangsaan, memperkukuh tapak integrasi sosial serta melestarikan warisan.

 

Katanya, lima teras strategik utama yang digariskan adalah Patriotisme dan Demokrasi, Pembinaan Negara Bangsa, Ekosistem Perpaduan, Transformasi Digital Perpaduan serta Tadbir Urus Organisasi dan Komunikasi.


 

“Pelan ini disusun selaras dengan aspirasi Malaysia Madani dan mandat kementerian di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) untuk membina negara bangsa sebagai asas perpaduan yang mampan.


 

“Pelan ini turut menampilkan pembaharuan dengan menggunakan Rubrik Penilaian Impak Polisi (PIP) sebagai instrumen pemantauan yang lebih komprehensif, sistematik dan berasaskan impak ke atas pencapaian setiap inisiatif,” katanya pada majlis perhimpunan bulanan KPN, di sini hari ini.


 

Dalam pada itu, beliau berkata, Pelan Strategik Pendigitalan 2026-2030 pula menumpukan kepada tujuh strategi, 21 program dan 55 subprogram bagi menyokong sepenuhnya agenda transformasi digital kementerian.


 

“Jabatan Muzium Malaysia perlu memainkan peranan yang penting dalam memartabatkan khazanah warisan negara melalui pemerkasaan dan peremajaan institusi permuziuman.


 

“Jabatan Muzium Malaysia juga disaran agar mewujudkan Pangkalan Data Nasional Koleksi Artifak Kebangsaan yang dapat menghimpunkan maklumat koleksi dari muzium di seluruh negara secara lebih sistematik dan berdaya saing.


 

“Pelaksanaan Kempen Derma Koleksi perlu dipergiatkan lagi bagi menggalakkan masyarakat menyumbang pelbagai bahan bersejarah yang mempunyai nilai warisan tinggi untuk dipelihara,” katanya.


 

Katanya, jumlah keseluruhan koleksi berharga yang berada di bawah jagaan Jabatan Muzium Malaysia telah mencecah sebanyak 437,242 koleksi berdasarkan rekod setakat ini.


 

“Pihak muzium perlu memperkukuh strategi promosi dan komunikasi dengan mengadaptasi pendekatan yang lebih mesra generasi muda serta menampilkan kandungan yang segar dan kreatif.


 

“Usaha transformasi digital muzium juga akan diteruskan dengan memfokuskan kepada pembangunan pameran kandungan imersif di Muzium Negara serta pembangunan Pameran Digital Muzium Arkeologi Lembah Bujang,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN