PJS jangan keruhkan keadaan - Gastak - Utusan Malaysia

PJS jangan keruhkan keadaan – Gastak

Zuraidin Abdullah
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU : Gabungan Sepaktakraw Kelantan (Gastak) meminta Pesuruhjaya Sukan (PJS) supaya tidak mengeruhkan keadaan untuk mewujudkan entiti baharu bagi mengganti peranan yang dimainkan oleh Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) di peringkat antarabangsa sebelum ini ketika badan induk sukan berkenaan akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 12 Februari depan.

Presidennya, Zuraidin Abdullah berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh PJS itu amat mengejutkan ketika ahli gabungan PSM sedang berhempas pulas menyelamatkan badan induk itu dan masa depan sepak takraw negara.

Menurutnya, sejak ‘perang’ berlaku antara ahli gabungan dengan PSM pada April tahun lalu, sebanyak 11 persatuan negeri-negeri telah keluar daripada menjadi ahli.

“Namun, atas komitmen serta rasa tanggungjawab dan kecintaan terhadap sukan takraw, masing-masing telah mengambil keputusan untuk kembali ke meja rundingan bagi mencari kata sepakat.

“Suka saya ingatkan bahawa ‘nadi’ yang mengambil peranan besar dan bertungkus lumus mencari titik persamaan serta berusaha mencari kaedah penyatuan semula PSM adalah PJS sendiri,” katanya dalam satu kenyataan akhbar semalam.

Zuraidin berkata,  semua ahli gabungan telah berhempas-pulas untuk memulihkan PSM sehingga berlangsungnya Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang menjadi titik mula kepada pembaharuan PSM seperti pindaan perlembagaan menerusi sokongan PJS.

Katanya, keyataan PJS itu seolah-olah ‘memadamkan’ semangat juang dan kesukanan yang telah sama-sama terbina sama ada dalam kalangan penggerak persatuan, pemain, jurulatih serta seluruh jawatankuasa.

“Saya meminta semua rakan-rakan negeri dan penggerak PSM agar bertenang dan tidak mudah membuat kesimpulan.

Saya dengan ini menyeru agar semua pihak khususnya ahli-ahli gabungan PSM memberi fokus yang tidak berbelah bagi untuk membuat perubahan.

“Kita mahu AGM ini menjadi penentu kepada perubahan PSM dan semua pencinta sukan takraw tentunya mahu menjayakan pelan untuk memulihkan persatuan sukan yang bersejarah ini,” ujarnya.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO Kelantan itu mahu segala perancangan yang dirancanh berlangsung dengan jayanya.

Katanya, dia mahu kepimpinan yang bakal menerajui PSM kelak dapat mengadakan kunjungan hormat untuk membincangkan serta mencari penyelesaian terhadap isu ini secara terbuka, telus dan bermaruah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya