PJS belakangi pandangan ahli gabungan - Abdul Halim - Utusan Malaysia

PJS belakangi pandangan ahli gabungan – Abdul Halim

Abdul Halim Suleiman
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kenyataan dibuat Pesuruhjaya Sukan (PJS), Ibrahim Mohd. Yusof yang mempertimbang untuk mewujudkan entiti baharu mewakili sukan sepak takraw bagi menggantikan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bukan sahaja mengejutkan, malah membelakangkan pandangan ahli gabungan.

Naib Presiden 1 PSM, Datuk Abdul Halim Suleiman turut mempersoalkan tentang perlunya diwujudkan entiti baharu dilakukan ketika ini kerana beliau berkata, PJS sedia maklum bahawa PSM akan mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) pada 12 Februari ini.

“Justeru, PJS sepatutnya memberi ruang kepada ahli gabungan, khususnya barisan kepimpinan PSM yang baharu nanti untuk menyelesaikan kemelut yang berlaku.

“Apatah lagi, 13 negeri yang menjadi ahli gabungan sekarang adalah majoritinya menyokong PSM. Persoalannya, kenapa cadangan untuk mewujudkan entiti baharu itu dibuat sekarang,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Semalam, Ibrahim dilaporkan bersedia untuk mempertimbang entiti baharu yang bakal mengambil alih peranan PSM di peringkat antarabangsa pada masa akan datang selepas melihat situasi semasa berkenaan kemelut antara PSM dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).

Jelas beliau, PJS telah menerima surat daripada Astaf yang menyatakan pendirian untuk tidak lagi menerima PSM sebagai ahli gabungannya susulan tindakan PSM yang berterusan melanggar beberapa perkara termaktub dalam hukuman selepas PSM disingkirkan daripada Astaf.

Sementara itu, Abdul Halim yang juga Presiden Persatuan Sepaktakraw Negeri Johor berkata, PJS seharusnya memberi ruang kepada PSM untuk membentuk barisan kepimpinan baharu bagi menyelesaikan masalah dan kemelut tersebut.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan sama ada PJS dipengaruhi oleh pihak yang berada di luar PSM sehingga mencetuskan idea untuk mewujudkan entiti baharu berkenaan.

“Diharap tiada pihak luar campur tangan dalam kemelut yang melanda PSM termasuk isu membabitkan Astaf. Biarlah barisan kepimpinan baharu yang akan dipilih pada 12 Februari nanti menyelesaikan masalah dan kemelut ini.

“PJS sepatutnya membantu, bukannya ibarat sokong yang membawa rebah,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya