Labuan buat kejutan ke separuh akhir, Kedah turut mara - Utusan Malaysia

Labuan buat kejutan ke separuh akhir, Kedah turut mara

PEMAIN Labuan Drillers melakar kejutan terbesar dalam saingan Divisyen 1 STL 2021/2022 apabila mara ke separuh akhir.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pasukan kerdil, Labuan Drillers mencuri tumpuan di Stadium Titiwangsa apabila menempah slot separuh akhir selepas mengetepikan Perlis Vipers dalam saingan Kumpulan B pada kejohanan Emas Anuar Sepak Takraw (STL) 2021/22, dekat sini, hari ini.

Pasukan yang sanggup terbang jauh dari Labuan ke ibu negara itu mempamerkan prestasi mengagumkan sejak hari pertama Divisyen 1 berlangsung dan petang tadi, mereka melakar kemenangan straight-set 21-13, 21-12 ke atas Perlis.

Kemenangan tersebut menyaksikan mereka muncul pasukan pertama dalam Kumpulan B mara ke peringkat empat terbaik apabila melengkapkan aksi sebagai naib juara setelah mengumpul enam mata.

Ketua jurulatih, Mohd. Saiful Nizam Mohd. yang menjadi individu bertanggungjawab mengubah prestasi Labuan Drillers melahirkan rasa gembira dengan kejayaan anak-anak buahnya.

“Kalau orang kata faktor kemenangan pasukan adalah disebabkan saya, itu saya kurang setuju dan saya kurang selesa jika ada yang beranggapan demikian.

“Saya terbang ke Labuan dua bulan lalu kerana tanggungjawab saya sebagai jurulatih. Tugas saya untuk mengubah persembahan mereka.

“Saya akui semasa mula-mula bertemu para pemain mereka tidak berada pada fizikal dan prestasi yang bagus.

“Sebab itu, saya kerah mereka melakukan larian, selain latih tubi di dalam gelanggang,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia selepas perlawanan berakhir.

Kedah Eagles turut melangkah ke peringkat empat terbaik.

Para pemain Labuan Drillers tidak dibarisi pemain yang berpengalaman kecuali apit kanan, Mohd Asrie Isa yang pernah bermain bersama Melaka Titans.

“Pemain-pemain ini biasanya bermain sepak takraw gaya kampung, mereka tidak didedahkan corak latihan sebenar seorang atlet.

“Bagi mendapatkan impak yang cepat, saya telah menerapkan corak latihan atlet badminton untuk kecergasan, manakala silat kerana sepak takraw adalah sukan yang ada gerak seni seperti akrobatik,” jelas Mohd. Saiful.

Mengulas mengenai aksi separuh akhir menentang juara Kumpulan A, KPTM-Masum Knights, esok, bekas pemain kebangsaan itu berkata, dia akan menurunkan regu terkuat, cuma yang menjadi kebimbangan ialah kecederaan buku lali yang dialami Mohd Asri.

“Terpulang kepada Asri, jika dia tidak mampu bermain, saya tidak akan paksa dia. Apa yang penting adalah kecergasannya, walaupun saya sedar dia tonggak kami,” ujarnya.

Turut mengiringi Labuan ke separuh akhir ialah Kedah Eagles yang menewaskan Pahang Mammoth 23-21, 21-13 untuk menyempurnakan aksi Kumpulan B sebagai juara setelah mengumpul enam mata.

Selaku juara, Kedah akan menghitung pertemuan dengan Melaka Titans yang merupakan naib juara Kumpulan A dalam satu lagi separuh akhir, esok. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya