ABU DHABI: Bintang tengah Chelsea, Jorginho menegaskan, sudah tiba masa pasukannya membawa pulang trofi Piala Dunia Kelab ke Stamford Bridge.
Bagaimanapun ia bukan laluan mudah buat juara Eropah itu apabila turun berdepan gergasi Amerika Selatan, Palmeiras dari Brazil dalam final di Stadium Mohammed Bin Zayed, Abu Dhabi awal pagi esok.
Jorginho menikmati tahun 2021 yang luar biasa dengan memenangi Liga Juara-Juara buat Chelsea, selain Kejohanan Eropah (Euro) 2020 bersama Itali.
Mara ke final Piala Dunia Kelab adalah permulaan cukup baik buat dirinya dan kelab musim ini, malah mereka berpeluang menebus kekalahan 0-1 kepada kelab Brazil, Corinthians dalam perlawanan akhir 2012.
“Palmeiras akan bermain habis-habisan kerana kejuaraan ini sangat penting buat pasukan dari Brazil kerana ia akan membuktikan mereka lebih baik daripada pasukan Eropah.
“Ini adalah peluang untuk mereka menentang pasukan dari Eropah dan bagi mereka perlawanan ini adalah misi besar. Jadi kita perlu bersedia sebaik mungkin.
“Sudah tentu Chelsea juga akan memberi segalanya kerana ia akan menjadi kejayaan pertama buat kelab kerana tidak pernah lagi memenangi trofi tersebut,” kata Jorginho yang dilahirkan di Brazil.

Sekiranya menang, Chelsea akan menjadi kelab England ketiga memenangi Piala Dunia Kelab selepas Manchester United dan Liverpool.
Sementara itu, Thomas Tuchel berdepan dilema dalam pemilihan penjaga gol selepas kepulangan semula Edouard Mendy yang membantu Senegal menjulang Piala Negara-Negara Afrika ketika Kepa Arrizabalaga turut mempamer aksi cemerlang di kejohanan tersebut.
Jaringan tunggal Romelu Lukaku membantu membantu Blues menewaskan kelab Arab Saudi, Al Hilal 1-0 pada separuh akhir kelmarin.
Palmeiras mara ke final dengan menyingkirkan Al Ahly dari Mesir 2-0. – AGENSI