Program Ihya’ Ramadan SK Banggu semarakkan bulan mulia

Program Ihya’ Ramadan SK Banggu semarakkan bulan mulia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramadan 1447H/2026 baru-baru ini dihayati dengan penuh keberkatan dan kemeriahannya turut dirasai oleh seluruh warga Sekolah Kebangsaan Banggu, Kota Bharu apabila pelbagai program kerohanian dan sahsiah dilaksanakan sepanjang bulan mulia itu.

Inisiatif ini bukan sahaja bertujuan menghidupkan amalan Ramadan dalam kalangan murid, malah menggalakkan kerjasama erat antara guru, murid serta seluruh komuniti sekolah.

Guru Besarnya, Noor Azniah @ Noni Mat Nor berkata, program Ihya’ Ramadan pada tahun ini dilaksanakan lebih tersusun dan melibatkan penyertaan menyeluruh daripada semua tahap.

Menurutnya, pihak sekolah sentiasa berusaha memastikan murid bukan sahaja cemerlang akademik, tetapi turut diberi pendedahan kepada nilai kerohanian dan akhlak yang baik.

“Kedatangan Ramadan harus diraikan dengan penuh kesyukuran dan dijadikan medan membina sahsiah mulia dalam kalangan generasi muda,” katanya.

Sementara itu, Ketua Panitia Pendidikan Islam merangkap penyelaras program, Hamidah Jusoh berkata, penganjuran kali ini menekankan konsep pembelajaran melalui pengalaman.

Setiap aktiviti dirangka agar murid dapat menghayati amalan Ramadan, bukan sekadar mengetahui secara teori.

Katanya, sambutan Ramadan di sekolah disambut dengan penuh keterujaan oleh murid dan guru yang sentiasa bekerjasama menjayakannya.

Program Ihya’ Ramadan dimulakan dengan majlis pelancaran dan Tabung Amal pada 12 Februari lalu bermula seawal pukul 7.45 pagi.

Majlis ini bertujuan memberi peringatan awal kepada murid tentang kepentingan menghidupkan bulan Ramadan serta menggalakkan amalan bersedekah melalui kutipan tabung.

Sepanjang bulan Ramadan, antara aktiviti utama ialah tadarus al-Quran yang dilaksanakan pada waktu rehat.

Program berkenaan dibahagikan mengikut tahap bagi memastikan pengurusan lebih teratur.

Murid Tahap 2 yang telah khatam ditempatkan di surau, manakala kumpulan yang belum khatam menjalankan bacaan di dewan.

Murid Tahap 1 pula dibimbing mengikut kemampuan masing-masing oleh guru bertugas mengikut jadual yang ditetapkan.

Aktiviti tersebut bukan sahaja menggalakkan murid membaca al-Quran, tetapi turut memupuk disiplin dan minat terhadap ilmu agama.

Bagi memeriahkan lagi suasana Ramadan, pihak sekolah turut menganjurkan poster Ramadan dan kuiz Ramadhan yang berlangsung setiap minggu.

Aktiviti ini memberi peluang kepada murid menunjukkan kreativiti serta meningkatkan pengetahuan mengenai ibadah puasa, sejarah Ramadan dan amalan sunat yang digalakkan.

Selain itu, perjalanan Tabung Amal juga diadakan sepanjang bulan Ramadan pada waktu rehat.

Murid digalakkan menyumbang mengikut kemampuan bagi memupuk budaya bersedekah sejak kecil.

Program ini mendapat sambutan positif apabila ramai murid tampil dengan inisiatif sendiri untuk menghulurkan bantuan.

Aktiviti lain yang turut mewarnai sambutan Ramadan ialah Pertandingan Silang Kata Tahap 1, yang dijalankan di dalam kelas.

Pertandingan ini membantu murid mengasah kemahiran bahasa dan pengetahuan agama dalam suasana menyeronokkan.

Kemuncak acara berlangsung antara 8 hingga 12 Mac lalu apabila murid menyertai pertandingan hafazan.

Pertandingan dibahagikan kepada dua kategori iaitu Tahap 1 (Surah Ad-Dhuha hingga Surah An-Nas) dan Tahap 2 (Surah Amma hingga Surah An-Nas).

Pertandingan ini berjaya menarik penyertaan ramai murid yang bersemangat menunjukkan keupayaan hafazan masing-masing.

Menjelang akhir bulan Ramadan, satu majlis Khatam al-Quran (Penutup) diadakan pada hari akhir persekolahan. Majlis ini diadakan di peringkat kelas sebagai simbolik kejayaan murid menghabiskan bacaan dan aktiviti tadarus sepanjang bulan ini.

Selain itu, program Hayya Bil Arabiyyah (Tahap 2) dijalankan pada 22 hingga 26 Februari sebagai persediaan awal bagi memperkenalkan murid kepada bahasa Arab dalam konteks Ramadan.

Secara keseluruhannya, penganjuran Program Ihya’ Ramadan di SK Banggu tahun ini bukan sahaja menghidupkan suasana Ramadan, malah berjaya membentuk disiplin, kerjasama dan kecintaan murid terhadap ilmu agama.

Penglibatan aktif murid dan guru membuktikan sambutan Ramadan di sekolah bukan sekadar program rutin, tetapi satu usaha berterusan membina generasi berakhlak mulia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN