Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku (PKB), Adibah Omar disenarai pendek sebagai finalis bagi PublisHer Excellence Awards 2026, sebuah anugerah antarabangsa yang mengiktiraf kepimpinan wanita dalam industri penerbitan global.
Beliau disenarai pendek dalam kategori ‘Inovasi’, bersama-sama Pengasas dan Pengarah PlenaVoz dari Brazil, Monique Leite serta Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas
Bersama PublishDrive dari Amerika Syarikat, Kinga Jentetics.
Pencalonan tersebut menjadikan Adibah tokoh pertama daripada industri perbukuan Asia Tenggara yang disenarai pendek bagi anugerah tersebut, sekali gus mencerminkan perhatian masyarakat antarabangsa terhadap perkembangan industri buku di Malaysia.
PublisHer Excellence Awards merupakan inisiatif antarabangsa yang memberikan pengiktirafan kepada wanita yang memainkan peranan penting dalam memajukan industri penerbitan melalui kepimpinan, inovasi dan kerjasama rentas negara.
Mengulas pencalonan tersebut, Adibah Omar berkata pengiktirafan ini merupakan penghormatan kepada usaha kolektif pelbagai pihak dalam membangunkan ekosistem industri buku negara.
“Pencalonan ini bukan sahaja mewakili PKB. Ia merupakan usaha bersama pemain industri buku Malaysia dalam memperkukuh budaya ilmu dan memperluas akses kepada bahan bacaan,” katanya.
Menurutnya lagi, perkembangan industri buku negara turut diperkukuh melalui pelbagai inisiatif inovasi kerajaan, termasuk pelaksanaan Baucar Buku Madani 2024 dan
Baucar Buku Guru Madani 2025 oleh kerajaan Malaysia melalui Kementerian Pendidikan, bagi memperluas akses kepada buku serta menyemarakkan budaya membaca.
PKB berharap pencalonan ini menjadi dorongan kepada seluruh pemain industri untuk terus memperkukuh ekosistem perbukuan negara serta membawa kemenangan anugerah ini kepada Malaysia dan industri buku tanah air.










