Trump putar belit, dakwa berunding dengan Iran

Trump putar belit, dakwa berunding dengan Iran

DONALD Trump turun dari pesawat rasminya, Air Force One di Pangkalan Andrews, Maryland kelmarin. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Presiden Ame­rika Syarikat (AS), Donald Trump membuat dunia celaru apa­bila mendakwa terdapat run­dingan antara negara itu dengan Iran berhubung perang di Asia Barat yang bakal memasuki minggu keempat ketika Teheran pula menafikannya.

Kelmarin, Trump secara mengejut mengumumkan untuk menangguhkan serangan yang diancam ke atas loji kuasa Iran selama lima hari selepas mengadakan perbualan yang di­dakwa ‘sangat produktif’ de­ngan Teheran tanpa mendedah­kan pegawai yang terbabit da­lam rundingan tersebut.

Bagaimanapun, beberapa jam selepas kenyataan itu dikeluarkan media antarabangsa, Iran pantas menafikan wujudnya sebarang rundingan malah menyifatkannya sebagai ‘berita palsu’.

Speaker Parlimen Iran, Mohammad-Bagher Ghalibaf me­negaskan tiada sebarang run­dingan berlaku antara Teheran dan AS.

Beliau malah menolak kenya­taan Trump tentang perbinca­ngan itu dan menyifatkan ia sebagai helah untuk memanipulasi pasaran global.

“Tiada rundingan telah diadakan dengan AS dan berita palsu digunakan untuk memanipulasi pasaran kewangan dan minyak serta mengelakkan diri daripada kesukaran yang dihadapi oleh AS dan Israel,” tulinya dalam satu catatan berbahasa Inggeris di platform X.

Nama beliau disebut-sebut dalam laporan media sebagai figura penting dalam politik Iran dan berpotensi menjad perantara atau wakil Teheran dalam perbincangan tidak rasmi de­ngan Washington dalam perang yang bermula pada 28 Februari lalu.

Seorang pegawai kanan Kementerian Luar Iran memberitahu CBS News secara eksklusif kelmarin bahawa pihaknya hanya menerima beberapa cadangan daripada AS melalui perantara dan ia sedang dikaji.

Rumah Putih turut memberitahu BBC bahawa ranca­ngan untuk rundingan dengan Iran sebenarnya masih bersifat tidak tetap dan sebarang spekulasi tidak boleh dianggap muktamad.

Pakar Hubungan Antarabangsa Universiti America, Prof. Garret Martin berkata, pasaran antarabangsa dan dunia amnya sudah biasa dengan perubahan pendirian mendadak Trump tetapi perubahan drastik berhubung Iran adalah antara yang paling mengejutkan setakat ini.

“Trump secara terbuka mengamalkan pemerintahan mengikut ‘naluri’. Dalam konflik di Asia Barat, beliau telah membuat siri kenyataan yang bercanggah tentang matlamat dan garis masa malah mengisy­tiharkan pada 13 Mac ko­nonnya perang itu akan berakhir apabila beliau mahukannya.

“Trump kini menjadi pakar dalam memutar belit dan me­nukar pendirian secara tiba-tiba. Jadi kadangkala sukar untuk mengetahui sama ada terdapat strategi atau sekadar improvisasi akibat keadaan semasa,” katanya.

Martin mencadangkan Trump cuba membuat pusi­ngan U kerana faktor kegelisahan pasaran kemungkinan tekanan dari negara Teluk dan ketega­ngan dalam gerakan politiknya sendiri, Make Ame­rica Great Again (MAGA).

Sabtu lepas, Trump memberikan Iran tempoh 48 jam untuk membuka semula Selat Hormuz, laluan penting untuk penghantaran minyak keluar dari Teluk dengan ancaman serangan besar terhadap loji kuasa negara itu.

Sehari selepas itu, Iran memberi jawapan dengan mengancam untuk kembali menutup sepenuhnya Selat Hormuz dan melancarkan serangan balas terhadap infrastruktur tenaga dan air di rantau Asia Barat, sekiranya AS menyerang loji tenaganya.

Iran turut mengeluarkan peta infrastruktur tenaga dan air yang disasarkan, sebagai tindak balas kepada ugutan Trump supaya membuka semula laluan perkapalan itu termasuk meletakkan periuk api di seluruh Teluk Parsi.

Harga minyak dunia sekali lagi meningkat melebihi AS$100 (RM393) setong ekoran kekeliruan tentang perbinca­ngan tersebut selepas jatuh pada hari Isnin ketika Trump mula mendedahkan mengenai run­dingan AS-Iran.

Semalam, media Iran melaporkan serangan Israel dan AS menyasarkan dua fasiliti gas dan satu saluran paip, beberapa jam selepas Trump menarik balik ancamannya untuk menye­rang infrastruktur tenaga.

“Sebagai sebahagian daripada serangan yang sedang dijalankan oleh musuh Zionis dan AS, bangunan pentadbiran gas dan stesen pengawalan tekanan gas di Jalan Kaveh, Isfahan telah disasarkan.Sera­ngan turut menyasarkan saluran paip gas loji janakuasa Khorramshahr, di barat daya,” lapor agensi berita Fars.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN