Saintis UMT diiktiraf peringkat global, nama diabadi pada spesies baharu

Saintis UMT diiktiraf peringkat global, nama diabadi pada spesies baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Saintis Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima pengiktirafan berprestij di pentas antarabangsa apabila namanya diabadikan pada spesies parasit ikan yang baharu ditemui, sekali gus mengharumkan nama institusi dan negara dalam bidang sains marin serta akuakultur.

Spesies berkenaan dinamakan Thelohanellus borkhanuddini sebagai penghormatan kepada Prof. Madya Dr. Hafiz Borkhanuddin, bekas Ketua Program Biologi Marin UMT yang kini Ketua Pusat Rujukan dan Repositori Laut China Selatan (RRC) di Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS).

Penemuan itu diterbitkan dalam jurnal antarabangsa Aquaculture Reports dan turut mendapat liputan media sains terkemuka, National Geographic sekali gus meletakkan penyelidikan berkenaan dalam radar komuniti saintifik global.

Mengulas pengiktirafan tersebut, Hafiz terharu dan tidak menyangka sumbangannya dalam bidang sains marin dan parasitologi ikan diberi penghormatan tertinggi sepanjang perjalanan kariernya.

“Saya amat terharu dan berbangga apabila nama saya diabadikan sebagai sebahagian daripada rekod taksonomi dunia. Pengiktirafan ini bukan hanya untuk diri saya, tetapi untuk UMT, rakan-rakan penyelidik serta para pelajar yang bersama-sama menekuni penyelidikan secara konsisten,” katanya.

Menurutnya, penamaan spesies itu turut membuktikan penyelidikan asas yang dilakukan secara tekun mampu memberi impak besar kepada komuniti saintifik antarabangsa, walaupun bermula daripada skala makmal dan lapangan,sederhana.

Lebih membanggakan, kajian ini diketuai oleh alumni UMT sendiri, Nadhirah Syafiqah Suhaimi, sekali gus menunjukkan pelaburan universiti dalam pembangunan bakat dan kepakaran benar-benar membuahkan hasil di peringkat global.

Nadhirah Syafiqah yang merupakan alumni Program Biologi Marin UMT kini adalah calon doktor falsafah (PhD) di Hungary.

Penemuan spesies baharu dalam genus Thelohanellus bukan sekadar pencapaian taksonomi, sebaliknya mempunyai implikasi langsung terhadap kesihatan ikan ternakan, produktiviti industri akuakultur dan kelestarian sumber protein akuatik dunia, khususnya dalam menghadapi cabaran keselamatan makanan global.

Penamaan spesies baharu dalam taksonomi saintifik itu merupakan satu bentuk penghormatan akademik tinggi dan berkekalan kerana nama tersebut akan terus direkodkan dalam literatur saintifik selagi spesies itu diiktiraf komuniti penyelidik antarabangsa.

UMT berkata, pencapaian berkenaan selari dengan komitmen universiti untuk memperkukuh Agenda Ekonomi Biru melalui penyelidikan asas berkualiti tinggi, kerjasama rentas sempadan serta pembangunan kepakaran dalam biodiversiti dan kesihatan ekosistem akuatik.

Peranan Hafiz sebagai Ketua RRC di INOS juga dilihat signifikan dalam memperkukuh fungsi repositori dan rujukan saintifik berkaitan Laut China Selatan sejajar aspirasi nasional untuk menjadikan Malaysia sebagai hab ilmu maritim serantau.

Kejayaan itu sekali lagi membuktikan penyelidikan yang dilaksanakan secara konsisten dan berimpak mampu meninggalkan jejak penting dalam landskap sains global, sekali gus memperkukuh reputasi UMT sebagai institusi rujukan dalam bidang sains marin dan kelautan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN