Ketengahkan pemain seawal 17 tahun - Utusan Malaysia

Ketengahkan pemain seawal 17 tahun

NG TZE YONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Memberi pendedahan antarabangsa kepada pemain pada usia 20 atau 21 tahun mungkin tidak lagi relevan, sebaliknya Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sepatutnya mula menghantar pemain seawal usia 17, 18 atau 19 tahun untuk menyertai kejohanan peringkat senior.

Bekas ketua jurulatih perseorangan kebangsaan, Datuk Rashid Sidek berkata, biarpun kalah 0-3 kepada Indonesia pada suku akhir Piala Thomas kelmarin, Malaysia tidak ke­tandusan bakat selepas pemain seperti Ng Tze Yong yang menghuni ranking ke-82 dunia berjaya memberi tentangan hebat kepada pemain No. 7 dunia, Jonatan Christie.

Malah, Leong Jun Hao (120 dunia) sebelum itu melakar kemenangan 21-19, 21-18 ke atas pemain No. 16 dunia, Kenta Nishimoto ketika pasukan negara tumpas 1-4 kepada pemain Jepun dalam aksi peringkat kumpulan.

“Mereka membuktikan, walaupun tanpa banyak pendedahan di peringkat tertinggi, namun berjaya memberi tenta­ngan kepada pemain-pemain regular dalam kejohanan utama, terutama Tze Yong dan Jun Hao.

“Pemain-pemain ini ada dihantar di Eropah untuk beraksi dalam kejohanan kecil. Di­sebabkan ranking rendah, mereka tidak boleh main pada kejohanan besar, jadi kena cari mata sebanyak mungkin dan kemudian bila ranking dah bagus, baru boleh bersaing dalam kelompok pemain utama.

“Pada usia 21 (Tze Yong) atau 22 tahun (Jun Hao), mereka sepatutnya sudah menjadi pemain dalam kelompok utama, bersaing di peringkat tertinggi.

“Saya fikir, mungkin selepas ini kita kena tukar pendekatan. Kalau ada pemain remaja yang bagus, walaupun baru 17 tahun atau 19 tahun, kalau mereka dah boleh kalahkan pemain senior, hantar sahaja ke kejohanan-kejohanan kecil supaya mereka dapat pendedahan awal,” kata­nya kepada Mingguan Malaysia.

Kata Rashid, beliau sendiri sudah menjadi perseorangan utama Malaysia dalam ­Piala Thomas ketika berusia 21 tahun, malah membuat penampilan sulung pada kejohanan berpa­sukan dunia itu di usia 18 tahun di Jakarta 1986.

Mengenai aksi tidak konsis­ten Lee Zii Jia di Denmark, Rashid percaya tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana ketika ini hanya jaguh Denmark, Viktor Axelsen menunjukkan permainan konsisten.

Dalam aksi Piala Thomas, Zii Jia gagal menyumbangkan mata buat pasukan negara apabila tewas 21-15, 12-21, 21-23 kepada Momota, selain tunduk 15-21, 17-21 di tangan Anthony Sinisuka Ginting.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik, Aaron Chia-Soh Wooi Yik juga gagal menunjukkan aksi konsisten apabila kalah kedua-dua perlawanan.

Mereka tumpas 17-21, 21-16, 15-21 kepada beregu No. 1 dunia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo, selain kalah 13-21, 13-21 kepada Takuro Hoki-Yugo Kobayashi dari Jepun.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.