Raducanu terus ‘berkilauan’ - Utusan Malaysia

Raducanu terus ‘berkilauan’

EMMA Raducanu diperkenalkan sebagai duta jenama barangan kemas mewah, Tiffany & Co.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON: Pemain tenis remaja sensasi Britain, Emma Raducanu terus menjadi buruan penaja apabila dipilih sebagai duta jenama barangan kemas mewah Amerika Syarikat (AS), Tiffany & Co.

Kejayaan bintang berusia 18 tahun itu menjuarai kejohanan Grand Slam Terbuka AS, 12 September lalu bukan sahaja menjadikannya jutawan sekelip mata, malah rebutan pelbagai syarikat gergasi untuk dijadikan duta.

Raducanu memahat sejarah menjadi pemain pertama memenangi Terbuka AS dari pe­ringkat kelayakan.

Dia juga muncul wanita ­Bri­tain pertama menjulang gelaran Grand Slam selepas ­Virginia Wade menjuarai Wimbledon 1977.

Tiffany & Co. sebelum ini menjalin kerjasama dengan selebriti seperti Beyonce, Jay Z, Tracee Ellis Ross, Anya Taylor-Joy, Jordan Alexander dan Hailey Bieber.

Sejak 1987, Tiffany juga diberi penghormatan untuk membuat trofi Terbuka AS bagi juara perseorangan lelaki serta wanita.

“Ia adalah jenama ikonik dan menjadi salah satu impian saya untuk memakai barangan mewah ini. Saya memakai cincin, ge­lang, anting-anting serta rantai ketika menyertai kejohanan.

“Setiap satu daripadanya sangat istimewa,” kata Raducanu yang muncul juara Terbuka AS selepas menewaskan seorang lagi bintang remaja, Leylah Fernandez di pentas akhir.

BEYONCE bersama Jay Z.

Raducanu mengikat kerjasama dengan jenama dari AS itu dalam satu majlis makan malam Fesyen dan Filem British Vogue bersama Tiffany & Co, Isnin lalu.

Memiliki darah kacukan China – ibunya, Renee berasal dari Shenyang, malah fasih bertutur bahasa Mandarin membolehkan Raducanu menjadi perhatian beberapa syarikat gergasi China.

Dia dikatakan bakal penajaan mence­cah sehingga AS$1 bilion (RM4.2 bilion), malah kejayaan menjuarai Terbuka AS membolehkannya menikmati hadiah lumayan AS$2.5 juta (RM10.47 juta). – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.