Rasuah yang sering kita anggap rezeki

Rasuah yang sering kita anggap rezeki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

FENOMENA seorang wakil rakyat mengeluh terpaksa menghulur RM50 bagi setiap undangan kenduri mungkin kelihatan remeh. Namun hakikatnya, situasi ini membuka jendela besar kepada krisis budaya yang lebih mendalam dalam masyarakat kita.

Hakikatnya, hampir semua wakil rakyat menghadapi tekanan ini. Yang membezakan hanyalah kemampuan. Ada yang mampu, ada yang tidak dan ada juga yang mungkin terdorong untuk mencari ‘jalan lain’ demi memenuhi ekspektasi tersebut.

Di sinilah bermulanya persoalan integriti.

 

GOTONG-ROYONG, BUKAN TRANSAKSI

Dalam masyarakat Melayu tradisional, majlis perkahwinan bukanlah medan untuk mengukur nilai wang yang diberikan tetapi manifestasi kebersamaan dan gotong-royong.

Masyarakat akan dimaklumkan lebih awal mengenai majlis bagi mengelakkan pertindihan. Seminggu sebelum majlis, penduduk kampung akan menyumbang apa sahaja yang mampu. Beras, ayam hidup, kelapa, gula, tepung, hinggalah ubi kayu dan ikan masin bagi yang kurang berkemampuan.

Pemimpin komuniti seperti tok ketua atau tok lembaga akan memastikan segala keperluan mencukupi. Golongan berada pula membantu dengan wang tunai sekadar melengkapkan keperluan.

Cara ini lebih harmoni apabila tiada tekanan, tiada paksaan dan tiada penilaian.

 

JIKA tidak dibendung budaya memberi boleh membuka ruang
salah faham serta normalisasi rasuah secara halus.

 

PERUBAHAN BUDAYA: DARI IKHLAS KE PENGHARAPAN

Namun, dalam era moden hari ini, budaya ini  berubah secara ketara apabila sumbangan dalam bentuk barangan semakin digantikan dengan pemberian wang tunai ketika menghadiri majlis perkahwinan.

Lebih membimbangkan, amalan ini tidak lagi bersifat sepenuhnya sukarela, sebaliknya menjadi jangkaan sosial dalam kalangan masyarakat. Ia turut berfungsi sebagai ukuran tidak rasmi terhadap status seseorang serta mewujudkan tekanan sosial kepada semua pihak yang terlibat.

Pada masa sama, kos penganjuran majlis perkahwinan kini semakin meningkat dengan ketara, iaitu sekitar RM15,000 bagi majlis berskala kecil, RM30,000 untuk majlis sederhana, dan boleh mencecah RM80,000 atau lebih bagi majlis berskala besar. Malah, terdapat kes tertentu yang mencatatkan kos sehingga RM300,000, termasuk hantaran yang tinggi, namun berakhir dengan perceraian dalam tempoh yang singkat.

Situasi ini menimbulkan persoalan yang lebih mendalam, sebenarnya apa yang sedang diraikan dalam perkahwinan hari ini, adakah ikatan perkahwinan itu sendiri atau sekadar persepsi dan imej sosial semata-mata?

 

RESAH CEKAU & LAHIRNYA POLITIK WANG

Apabila masyarakat mula mengharapkan wakil rakyat sentiasa ‘memberi’, maka landskap politik berubah daripada perbincangan dasar kepada soal kewangan semata-mata.

Muncul pula persepsi dalam kalangan rakyat bahawa, “Dia tidak layak jadi wakil rakyat kerana tiada duit.”

Hakikatnya, inilah kerosakan serius dalam cara berfikir politik masyarakat. Apabila kemampuan memberi dijadikan ukuran utama kepimpinan, maka sumber kewangan menjadi fokus utama dalam usaha mendapatkan kuasa. 

Dalam keadaan tekanan yang semakin meningkat, tidak mustahil wujud kecenderungan untuk mendapatkan dana melalui saluran yang tidak sihat seperti kolusi, nepotisme, penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Sejarah membuktikan Malaysia pernah berdepan skandal kleptokrasi yang besar, dikaitkan dengan amalan ‘derma politik’ yang tidak telus. 

Tanpa kewujudan Akta Pendanaan Politik yang jelas, tegas dan berkesan menyebabkan budaya ini berisiko terus berakar serta menjadi semakin parah dalam sistem politik negara.

Dalam konteks perbandingan, Indonesia memperkenalkan amalan ‘tidak menerima sampul’  yang semakin diterima dalam kalangan masyarakat tertentu. 

Dalam budaya ini, kehadiran tetamu sudah dianggap sebagai penghormatan yang mencukupi, malah pemberian wang dianggap tidak lagi sesuai dalam sesetengah keadaan.

Jika pendekatan ini diperkenalkan di Malaysia, mungkin ada yang salah tafsir sebagai sikap berlagak, menunjuk kekayaan atau tidak memahami adat. Namun pada hakikatnya, amalan ini boleh menjadi reformasi budaya yang penting kerana mengurangkan tekanan kepada tetamu, mengembalikan nilai keikhlasan dan mengelakkan pembaziran.

Ironinya, dalam era digital hari ini, budaya ‘sampul’  hanya berubah bentuk daripada bentuk fizikal kepada kod QR, namun mentaliti masyarakat masih kekal sama. Masalah utama bukan pada medium tetapi pada cara berfikir masyarakat itu sendiri.

Lebih membimbangkan, jika sebelum ini RM50 di kenduri sudah menjadi isu, kini wujud realiti di mana ‘sumbangan’ hadir dalam bentuk yang jauh lebih besar. Ada pihak yang menerima hadiah berupa barangan mewah, ternakan seperti kambing dan lembu, serta wang tunai dalam jumlah yang besar daripada pihak tertentu. 

Dalam banyak keadaan, pemberian ini datang daripada individu atau organisasi yang mempunyai kepentingan dalam sesuatu urusan, sama ada kontraktor, pengurus dana atau pihak berkepentingan lain.

Sering kali, tindakan ini dibenarkan dengan alasan sekadar rezeki, bukan sesuatu yang diminta. Namun di sinilah bermulanya kekaburan antara hadiah dan rasuah, apabila pemberian tidak lagi boleh dipisahkan daripada kepentingan tertentu.

Persoalan yang lebih penting bukanlah siapa yang memberi tetapi mengapa pemberian itu berlaku, apa harapan di sebaliknya dan sama ada mempengaruhi keputusan atau tidak. Apabila sesuatu pemberian datang bersama kepentingan, maka tidak lagi boleh dianggap sebagai hadiah biasa, sebaliknya berubah menjadi instrumen pengaruh.

Dalam dunia perniagaan pula, tekanan ini menjadi lebih ketara. Ada pihak yang beranggapan tanpa ‘melayan sistem’, urusan tidak akan berjalan lancar. Namun, terdapat juga mereka yang memilih jalan lebih sukar dengan tidak menggadaikan prinsip walaupun terpaksa kehilangan peluang.

Pengalaman menunjukkan perniagaan yang bergantung kepada amalan tidak sihat seperti lobi berlebihan, transaksi ‘bawah meja’ dan kronisme mungkin kelihatan berjaya pada awalnya, tetapi akhirnya tidak mampu bertahan. Sebaliknya, mereka yang berpegang kepada prinsip integriti mungkin tidak mengejar kekayaan melampau, namun memperoleh ketenangan dan keberkatan dalam jangka panjang.

Oleh itu, pembetulan perlu berlaku pada dua peringkat utama. Pertama, pada peringkat sistem melalui pelaksanaan Akta Pendanaan Politik yang lebih jelas, penguatkuasaan konflik kepentingan yang tegas serta garis panduan yang ketat berkaitan hadiah dan sumbangan. 

Kedua, pada peringkat masyarakat dengan mengubah persepsi terhadap kepimpinan, mengurangkan kebergantungan kepada budaya memberi, serta mendidik rakyat tentang peranan sebenar wakil rakyat yang bukan sekadar ‘mesin bantuan kewangan’.

Akhirnya, masyarakat sendiri menentukan hala tuju budaya ini. Jika pemimpin dipilih berdasarkan kemampuan memberi, maka tidak mustahil sistem akan terus dipenuhi tekanan untuk ‘memberi kembali. Namun jika budaya pemberian tidak dikawal, boleh membuka ruang kepada normalisasi rasuah secara halus tanpa disedari.

Kesimpulannya, sudah tiba masanya masyarakat menilai semula budaya ini secara jujur dan berani. Integriti tidak akan lahir daripada sistem semata-mata, tetapi bermula daripada perubahan cara berfikir masyarakat sendiri. –UTUSAN

PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN