Buat ujian darah sahaja tidak cukup

Buat ujian darah sahaja tidak cukup

MELAKUKAN ujian darah tanpa intervensi pencegahan aktif adalah satu pembaziran peluang untuk menyelamatkan diri ibu bapa dan simpanan keluarga anda.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYANGKAN senario ini, anda seorang anak yang sibuk, bekerja keras untuk masa hadapan anak-anak sambil memastikan kebajikan ibu bapa di kampung terjaga. 

Setiap tahun, anda memastikan mereka ke klinik untuk lakukan ujian darah. Anda menarik nafas lega apabila melihat keputusan kolesterol, tekanan darah dan paras gula mereka stabil.

 Namun, sebagai seorang pakar geriatrik, saya sering melihat realiti yang berbeza di klinik. Ramai anak-anak terkejut apabila ibu bapa mereka tiba-tiba jatuh dan patah pinggul atau mula menunjukkan tanda-tanda nyanyuk yang serius, walaupun keputusan ujian darah mereka ‘cantik’ sebulan sebelumnya.

Kebanyakan amalan perubatan am hari ini hanya memfokuskan kepada indikator klinikal asas iaitu kolesterol, tekanan darah dan bacaan HbA1c (hemoglobin berglikosila).

Walaupun pemeriksaan ini  penting untuk menguruskan Penyakit Tidak Berjangkit (NCD) yang dihidapi oleh 68 peratus warga emas, namun ia hanyalah sebahagian kecil daripada gambaran besar.

Banyak klinik dan makmal terlepas pandang ‘gergasi geriatrik’ yang sebenarnya menentukan kualiti hidup ibu bapa anda. Jadi, perlu ambil tahu tentang beberapa perkara: 

  • Saringan minda (kognitif dan demensia): Jarang sekali saringan memori dilakukan secara rutin, sedangkan kadar demensia di Malaysia telah melonjak kepada 10 peratus.
  • Risiko jatuh dan ujian kekuatan genggaman: Hampir tiada siapa yang memeriksa kekuatan otot mereka, sedangkan 45.3 peratus warga emas menderita sarkopenia (kehilangan jisim otot) yang membawa kepada peningkatan kes jatuh sebanyak 14.3 peratus.
  • Semakan polifarmasi: Hakikat majoriti warga emas menghidap sekurang-kurangnya dua penyakit kronik menyebabkan mereka perlu mengambil pelbagai jenis ubat, yang sering menjadi punca komplikasi kesihatan jika tidak dipantau secara menyeluruh. Malangnya, aspek ini masih jarang dinilai secara holistik.

Bagi anda yang tergolong dalam generasi sandwich, kegagalan mengesan risiko penuaan lebih awal bukan sekadar isu kesihatan, malah boleh mencetuskan tekanan kewangan yang besar. Malaysia kini mengalami proses penuaan penduduk pada kadar 1.5 kali lebih pantas berbanding Jepun, sekali gus meningkatkan cabaran penjagaan warga emas pada masa hadapan.

Apabila ibu bapa kehilangan keupayaan untuk berdikari akibat insiden jatuh, kelemahan fizikal atau demensia, anda mungkin perlu menanggung kos penjagaan profesional yang boleh mencecah RM50,000 setahun. Beban ini menjadi lebih membimbangkan apabila negara berdepan kekurangan kapasiti penjagaan warga emas. 

Ketika ini 689 katil berlesen tersedia untuk memenuhi keperluan sekitar 240,000 warga emas yang dijangka memerlukan penjagaan institusi, tanggungjawab tersebut akhirnya berkemungkinan besar dipikul oleh ahli keluarga sendiri.

Atas sebab itu, melakukan ujian darah semata-mata tanpa disusuli langkah pencegahan yang aktif bermakna kita melepaskan peluang untuk melindungi kesihatan ibu bapa dan kestabilan kewangan keluarga.

Kami percaya warga emas tidak seharusnya sekadar menjadi penerima rawatan pasif, sebaliknya perlu dibantu untuk mengekalkan kesihatan, fungsi dan kualiti hidup mereka selama mungkin. –UTUSAN

 

DR. AHMAD FAKHRULLAH ANNUAR

Ketua Pegawai Eksekutif  ACT4Health Senior Clinic dan Geriatric GP 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN