GSF 2.0: Misi kemanusiaan menentang sekatan, kezaliman Israel

GSF 2.0: Misi kemanusiaan menentang sekatan, kezaliman Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENGALAMAN sewaktu perlepasan sekitar 80 buah kapal Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF 2.0) di Port de la Custa Mall, Bercelona pada 12 April  lalu amat berharga. 

Selain menyaksikan sidang media dan pelbagai acara yang diadakan pada hari berkenaan, saya diselubungi ketakjuban melihat semangat masyarakat Eropah bangkit memerangi kezaliman dan membela nasib rakyat Palestin dan Gaza.

Hal ini mengingatkan saya terhadap sifat terpuji orang Rom atau Eropah yang dinyatakan `Amru ibn al-`As dalam sebuah hadis. Hadis tersebut direkodkan dalam Sahih Muslim, Kitab al-Fitan wa Asyratus Sa’ah. 

Lima sifat atau ciri positif yang dinyatakan ialah mereka yang paling tenang ketika ditimpa ujian, paling pantas bangkit setelah ditimpa musibah, paling segera menyusun tindakan setelah menghadapi kekalahan, mereka merupakan sebaik-baik manusia dalam menyantuni orang miskin, anak yatim dan orang yang lemah atau ditindas di samping sangat bersemangat dalam mencegah kezaliman dilakukan pemerintah.

Lima sifat atau ciri positif yang dinyatakan itu juga terpamer jelas pada seorang Ahli Jawatankuasa Pemandu GSF 2.0, Thiago Avila dari Brazil.

Thiago pernah menyampaikan mesej kepada masyarakat dunia semasa pelayaran bersama kapal Madleen pada Jun 2025, “Jangan takut akan kebencian, keganasan, dan penindasan rejim Israel. Sepanjang sejarah manusia, semua empayar telah runtuh, dan semua ideologi yang berasaskan kebencian, yang suatu ketika dahulu kelihatan tidak dapat ditumbangkan, juga telah lenyap. 

“Kami menyeru semua orang, untuk bangkit dan bertindak demi Palestin untuk memprotes demi keadilan sosial, untuk berdiri teguh dalam membina dunia yang bebas daripada penyalahgunaan, penindasan dan kemusnahan alam sekitar.” 

Tidak cukup sekadar kata-kata, Thiago malah membuktikan keteguhan semangat menentang kezaliman sewaktu berada dalam tahanan setelah diculik di perairan antarabangsa berhampiran dengan Greece.

Dia dilaporkan menggunakan kelebihan sebagai seorang berkulit putih untuk melindungi Saif Abukheshek. Saif yang berketurunan Palestin sudah pasti terdedah pada penyeksaan dan keganasan tidak bersempadan tentera rejim.

Misi Global Sumud Flotilla diteruskan buat kali kedua (GSF 2.0) bagi mencabar kepungan Israel ke atas Gaza dan menyuarakan solidariti terhadap krisis kemanusiaan rakyat Palestin. Misi ini dilaksanakan melalui gabungan tindakan maritim dengan mobilisasi global yang diselaraskan di daratan serta menghubungkan solidariti, advokasi perundangan dan tekanan akar umbi merentas pelbagai negara. 

Selain itu, misi pada kali ini juga mensasarkan matlamat strategik untuk melumpuhkan ‘hasbara’ atau propaganda palsu rejim Zionis. 

Propaganda itu bertujuan mempengaruhi persepsi masyarakat antarabangsa tentang isu politik, konflik dan dasar luar negara haram tersebut. Hal ini disebabkan impak misi GSF 1.0 telah memaksa rejim tersebut untuk meningkatkan belanjawan propaganda mereka secara luar biasa bagi menangkis kebangkitan naratif pro-Palestin.

Misi yang digerakkan GSF diteguhkan oleh pasukan perundangan yang terdiri daripada lebih 100 orang peguam berpengalaman dari seluruh dunia. 

Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) yang sekali lagi mewakili pasukan perundangan Malaysia berperanan antara lain memberikan nasihat undang-undang dan menjawab pelbagai bentuk persoalan peserta. 

Dalam hubungan ini, penyelidik Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) juga terlibat  menyediakan garis panduan dan memberikan taklimat tentang fiqh pelayaran untuk dirujuk peserta. 

Selain itu, CENTHRA berperanan menyemak dan menyediakan dokumen seperti surat kuasa wakil serta berhubung dengan kedutaan dan pihak berkuasa luar. CENTHRA turut mengadakan penyelarasan dengan peguam dari Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) dan rangkaian peguam dari negara lain sewaktu penahanan peserta oleh rejim Zionis.

Sehingga kini, CENTHRA bersama organisasi guaman lain (EIIC) Waves of Freedom, iaitu kumpulan peguam Poland berusaha mengambil inisiatif melalui saluran ‘Komunikasi Artikel 15’ untuk mengemukakan bukti agar diberikan perhatian oleh Pejabat Pendakwa Raya Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Dengan kata lain, bahan bukti diserahkan secara rasmi bagi memohon pihak pendakwa raya menilai maklumat yang dikemukakan bagi menunjukkan berlakunya jenayah di bawah bidang kuasa ICC. 

Jumlah bukti yang besar selain masih baharu seperti rakaman keterangan saksi, rekod pemeriksaan perubatan, bukti forensik, rakaman video dan gambar, analisis rantaian arahan, serta penghujahan undang-undang yang berkaitan dengan penyeksaan, layanan yang menjatuhkan maruah, penahanan tidak sah atau serangan terhadap misi kemanusiaan sedang disiapkan sebagai Komunikasi Artikel 15. 

Sekiranya terdapat asas yang kukuh, Pejabat Pendakwa Raya ICC akan memohon kepada Dewan Pra-Perbicaraan untuk memulakan siasatan.

 

PENULIS (dua dari kiri) ketika perlepasan kapal Global Sumud Flotilla 2.0 (GSF 2.0) di Port de la Custa Mall, Bercelona pada 12 April lalu.

Antara impak ketara misi pelayaran GSF 2.0 kali ini sudah tentu terhadap imej dan kegagalan projek ‘hasbara yang bernilai lebih AS$ 700 juta (RM2.97 bilion) . Hal ini susulan tindakan Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir yang merakamkan layanan kejam rejim terhadap aktivis GSF 2.0 yang diculik di perairan antarbangsa.

Ketidaksengajaan mendedahkan wajah sebenar Israel serta kesilapan percaturan Ben-Gvir mencetuskan kemarahan antarabangsa dan banyak negara memanggil duta Israel untuk menyampaikan nota bantahan.

GSF telah menyatakan azam untuk meneruskan misi pelayaran disebabkan harga bagi kebisuan terhadap penderitaan rakyat Palestin adalah terlalu tinggi untuk dibayar. Ketika Gaza terus berhadapan kempen genosid yang berterusan, dalam masa sama sekatan yang semakin ketat dan keganasan serta penderitaan yang berpanjangan menyebabkan misi GSF merupakan intervensi aman yang berprinsip. 

Misi ini bertujuan mempertahankan maruah kemanusiaan, menyeru akses bantuan kemanusiaan, serta menuntut pertanggungjawaban antarabangsa. Dengan kata lain, ia merupakan cabaran langsung terhadap tembok, sekatan dan keganasan sistemik serta pencetus gerakan politik dan solidariti yang diselaraskan dengan rapi di seluruh dunia. 

GSF juga mensasarkan matlamat bagi desakan pembebasan 9,500 rakyat Palestin, termasuk sekurang-kurangnya 350 kanak-kanak yang menderita akibat penyeksaan yang tidak terperi saban saat.

Peringatan Nabi SAW agar umat Islam membebaskan saudara mereka daripada sebarang bentuk kezaliman seharusnya cukup untuk membuatkan mereka dibelenggu perasaan malu dan bersalah terhadap penderitaan rakyat Palestin. Apatah lagi jika ketidakpedulian itu dibiasa-biasakan dan diwariskan pula kepada generasi akan datang. 

Masyarakat dunia telah bangkit dan mengadakan pelbagai bentuk persiapan. Rugilah jika umat dan bangsa kita sendiri tidak menjadi sebahagian daripada kumpulan yang merencana dan memperjuangkan kebenaran, keadilan serta kemerdekaan bagi Palestin dalam erti kata sebenar. –UTUSAN

 

PENULIS ialah Felo Kanan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN