DAP perlu strategi baharu raih undi

DAP perlu strategi baharu raih undi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SABAN hari, semakin banyak isu-isu sensitif terpacul daripada pimpinan DAP. Tanpa memikirkan kesan terhadap keharmonian masyarakat majmuk, kenyataan yang dikeluarkan dilihat mempunyai satu matlamat utama iaitu memastikan sokongan pengundi Cina terus kekal bersama parti itu menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Pada mereka, tindakan itu bukan ‘dosa besar’, malah dianggap perjuangan mempertahankan hak dan kebebasan bersuara. Namun dalam masa sama, ia membuka ruang kepada polemik berpanjangan sehingga menyentuh institusi diraja dan sensitiviti kaum yang menjadi asas kestabilan negara.

Baru-baru ini, pemimpin kanan DAP, Tony Pua dikecam di media sosial selepas memuat naik pandangan berkaitan kuasa raja berperlembagaan. Kenyataan itu muncul beberapa jam selepas Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan ahli politik supaya menghormati prinsip Rukun Negara, khususnya kesetiaan kepada raja dan negara.

Sultan Selangor turut menegur Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Wong Siew Ki dan bekas Exco Selangor, Ronnie Liu susulan kenyataan mereka mengenai isu penternakan babi di Selangor. Dalam isu itu, Sultan Selangor mencadangkan agar daging babi diimport bagi memenuhi permintaan masyarakat bukan Islam selepas timbul rungutan berkaitan pencemaran alam sekitar.

Namun kenyataan Tony yang menyebut raja-raja Melayu hanya mempunyai kuasa terhad dalam sistem raja berperlembagaan mencetuskan kemarahan ramai pihak. Bagi sebahagian masyarakat Melayu, kenyataan itu dilihat melampaui batas dan cuba mempertikaikan institusi diraja yang menjadi payung negara.

Formulanya mudah, untuk mengekalkan pengaruh pengundi Cina, DAP perlu menjadi juara dalam isu yang berkaitan dengan bangsa tersebut.

DAP yang ditubuhkan pada 1966, mula menyertai PRU pada 1969 dengan membawa imej sebagai parti pelbagai kaum. Parti itu mendapat sokongan besar daripada masyarakat Cina di kawasan bandar. Pada PRU 1969, DAP memenangi 13 kerusi Parlimen dan 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Sejak itu, pengaruh DAP terus berkembang terutama di Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kuala Lumpur dengan menjadikan isu keadilan sosial, tadbir urus dan hak masyarakat bukan Melayu sebagai modal utama politik mereka.

Kekuatan DAP terus menyerlah apabila mencatat sejarah tersendiri selepas memenangi 42 kerusi Parlimen yang ditandingi pada PRU14, sekali gus menjadi antara tunjang utama kemenangan Pakatan Harapan (PH) menumbangkan Barisan Nasional (BN) buat pertama kali dalam sejarah negara pada 9 Mei 2018.

Keputusan itu membuktikan DAP berjaya mengukuhkan sokongan pengundi Cina dan bandar sehingga menjadi antara parti paling dominan dalam kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, pada PRU15 pada 2022, jumlah kerusi DAP sedikit menurun apabila parti itu memenangi 40 kerusi Parlimen. Walaupun masih kekal sebagai parti terbesar dalam PH dari segi jumlah kerusi, namun keputusan tersebut memberi isyarat bahawa sokongan terhadap DAP tidak lagi boleh dianggap kekal selesa seperti dahulu.

Penurunan sokongan terhadap DAP yang paling ketara ialah situasi di Sabah. Dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020, DAP mengalami kekalahan besar apabila gagal mempertahankan ke semua lapan kerusi yang ditandingi. Kekalahan itu menjadi tamparan hebat kerana Sabah sebelum ini dianggap antara negeri yang memberi harapan kepada PH untuk menambah pengaruh di Malaysia Timur.

DAP tewas di kerusi penting termasuk Elopura, Luyang dan beberapa kawasan bandar lain yang sebelum itu mempunyai kecenderungan kepada pembangkang. Kekalahan menyeluruh tersebut membuktikan PRN lalu merupakan kali pertama sejak 2004, DAP tidak mempunyai satu pun wakil dalam DUN Sabah.

Sentimen rakyat boleh berubah dengan cepat apabila isu tempatan, ekonomi dan kestabilan politik mengatasi sentimen lama terhadap BN atau kerajaan pusat.

Keputusan itu menyebabkan DAP perlu memikirkan strategi baharu bagi mengembalikan keyakinan pengundi Cina, terutama generasi muda yang kini lebih kritikal dan tidak lagi mengundi berdasarkan sentimen semata-mata.

 

 

UNDI CINA BERPECAH

Dalam landskap politik hari ini, masyarakat Cina semakin berpecah dari sudut kecenderungan politik. Sebahagian masih menyokong DAP kerana melihat parti itu sebagai pelindung hak minoriti, manakala sebahagian lagi mula kecewa kerana banyak janji reformasi PH belum berjaya dilaksanakan sepenuhnya walaupun sudah menjadi kerajaan.

Isu kos sara hidup, ekonomi perlahan, peluang pekerjaan dan kelemahan tadbir urus kini lebih dekat di hati rakyat berbanding retorik politik identiti. Sebab itu DAP dilihat terus memainkan isu tertentu untuk memastikan emosi dan sentimen penyokong tradisional mereka terus terikat dengan parti.
Dalam masa sama, situasi itu meletakkan PH dan kerajaan Perpaduan dalam keadaan sukar.

Di satu sudut, kerajaan perlu memastikan isu berkaitan kaum, agama dan institusi diraja tidak terus dipolemikkan sehingga menggugat keharmonian negara.

Namun di sudut lain juga, PH sedar sokongan pengundi Cina merupakan antara faktor utama yang membantu gabungan itu membentuk kerajaan selepas PRU15.

Dalam banyak kawasan bandar dan separa bandar, undi masyarakat Cina menjadi penentu kemenangan calon-calon PH termasuk daripada PKR, Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP sendiri.

Keadaan itu akhirnya menimbulkan persepsi bahawa DAP mempunyai ruang yang lebih besar untuk mengeluarkan kenyataan kontroversi tanpa tindakan keras daripada kepimpinan kerajaan.

Ini kerana DAP sudah pasti mahu kekal relevan dalam kerajaan perpaduan, namun pada masa sama perlu memastikan identiti politik tradisional mereka tidak hilang.

Persoalan di sini, sejauh mana kerajaan mampu memelihara Rukun Negara supaya institusi diraja dan dalam masa sama perlu memainkan peranan seimbang kepada pemimpin DAP yang sering kali menyinggung sensitiviti orang Melayu? –UTUSAN

 

PENULIS ialah Wartawan Kanan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN