Ramai graduan, mengapa bumiputera masih tertinggal?

Ramai graduan, mengapa bumiputera masih tertinggal?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ENAM dekad bukan tempoh yang singkat. Selama tempoh itu, Malaysia menuangkan harapan, wang rakyat dan tekad politik ke dalam satu agenda yang dianggap paling mulia dalam sejarah dasar awam negara, iaitu agenda pendidikan bumiputera.

Agenda ini bukan sekadar dasar di atas kertas tetapi ikrar sebuah bangsa kepada anak-anaknya yang paling terpinggir.

Kerajaan membina Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di kawasan pedalaman, membuka luas pintu Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan menyalurkan biasiswa Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk menghantar anak-anak bumiputera ke universiti terkemuka di seluruh dunia. Semua ini membuktikan pelaburan negara yang besar, serius dan berpanjangan.

Hasilnya memang kelihatan memberangsangkan. Pada 2022, bumiputera membentuk 81.9 peratus kemasukan ke universiti awam. Setahun kemudian, jumlah graduan bumiputera mencecah 3.7 juta orang. Angka ini pada zahirnya tampak membanggakan dan seakan-akan mencerminkan kejayaan besar dasar pendidikan negara.

Namun, di sinilah kita perlu berhenti sejenak dan bertanya dengan jujur. Jika pelaburan ini begitu besar, jika institusi pendidikan sudah meluas dan jika jumlah graduan sudah ramai, mengapa jurang pendapatan antara bumiputera dan kaum Cina masih kekal pada nisbah 1:0.72 pada 2024?

Mengapa kadar kemiskinan bumiputera masih berada pada 6.6 peratus, iaitu hampir empat kali ganda lebih tinggi berbanding kaum Cina yang hanya mencatat 1.5 peratus? Angka ini bukan sekadar statistik tetapi cermin kepada realiti yang sering kita elakkan daripada ditatap secara berterus terang.

Paradoks ini tidak boleh diselesaikan dengan retorik atau statistik kelulusan yang dipersembahkan secara indah. Ia hanya boleh ditangani melalui kejujuran terhadap data dan keberanian untuk bertindak berdasarkan bukti sebenar.

GAGAL DALAM KUALITI

Hakikat pertama yang perlu diterima ialah agenda pendidikan bumiputera berjaya dari sudut akses. Lebih banyak sekolah dibina, enrolmen universiti meningkat dan bantuan biasiswa diperluaskan secara menyeluruh.

Ini merupakan pencapaian yang tidak wajar dinafikan. Namun, kejayaan akses tidak secara automatik menjamin kejayaan kualiti dan di sinilah kelemahan utama yang sering terlepas pandang.

Apabila Malaysia menyertai Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) pada 2022, negara mencatat kemerosotan terbesar di rantau ASEAN, iaitu penurunan 6.26 peratus daripada skor 431 pada 2018 kepada 404 pada 2022.

Sebagai perbandingan, Indonesia hanya mencatat penurunan 4.09 peratus manakala Thailand 4.36 peratus. Skor ini mengukur keupayaan sebenar pelajar berusia 15 tahun dalam matematik, sains dan bacaan. Ia memberikan gambaran yang jauh berbeza daripada statistik kelulusan peperiksaan awam yang sering ditonjolkan dalam laporan rasmi.

Lebih membimbangkan, jurang pencapaian antara sekolah awam dan sekolah swasta semakin melebar apabila sekolah swasta kini mengatasi sekolah awam sebanyak 68 mata dalam matematik.

Hakikatnya, majoriti pelajar sekolah awam terdiri daripada bumiputera, maka merekalah yang paling terkesan dengan kemerosotan ini.

KEMISKINAN PEMBELAJARAN

Laporan Bank Dunia bertajuk Bending Bamboo Shoots pada April 2024 mendedahkan satu dapatan kritikal iaitu 24 peratus kanak-kanak yang memasuki sekolah rendah di Malaysia tidak mempunyai kemahiran asas kesediaan pembelajaran.

Mereka belum menguasai literasi dan numerasi asas sebelum melangkah ke alam persekolahan formal. Kumpulan ini kebanyakannya datang daripada keluarga berpendapatan rendah, termasuk komuniti bumiputera di luar bandar, Sabah dan Sarawak.

Masalah ini tidak bermula di universiti. tetapi jauh lebih awal, di peringkat prasekolah dan awal persekolahan.

Jika asas ini gagal dibina, jurang pencapaian akan terus melebar sepanjang perjalanan pendidikan seseorang pelajar. Pembinaan sekolah baharu tidak akan memberi kesan besar jika murid yang masuk ke dalamnya tidak bersedia dari segi kognitif dan persekitaran pembelajaran.

 

MASALAH utama kini dalam pendidikan bukan lagi kekurangan peluang tetapi isu kualiti pendidikan, kemahiran dan daya saing dalam pasaran kerja moden.

 

RAMAI IJAZAH, TETAPI MENGAPA MASIH MISKIN?

Data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan kadar pengangguran graduan bumiputera wanita pada 2023 berada pada 4.5 peratus, manakala lelaki 3.6 peratus.

Situasi ini berlaku walaupun bumiputera mendominasi enrolmen di universiti awam. Persoalannya bukan sekadar jumlah graduan tetapi kesesuaian bidang pengajian, kualiti institusi serta padanan kemahiran dengan keperluan pasaran kerja yang semakin dipacu teknologi dan ekonomi digital.

Lebih membimbangkan, bumiputera masih mewakili 70 peratus kumpulan pendapatan 50 peratus terendah negara. Ini menunjukkan peningkatan bilangan graduan tidak secara automatik mengubah kedudukan ekonomi mereka secara struktur. Pendidikan yang diperoleh masih belum cukup kuat untuk memecahkan kitaran pendapatan rendah yang berpanjangan.

Agenda pendidikan bumiputera tidak memerlukan pertambahan program semata-mata tetapi memerlukan kejujuran baharu dalam menilai keberkesanan dasar. Penilaian mesti berasaskan data terperinci mengikut lokasi, latar sosioekonomi, jenis institusi dan bidang pengajian supaya dasar dapat disasarkan dengan lebih tepat.

Kejayaan juga perlu diukur semula. Kita tidak boleh lagi bergantung kepada bilangan sekolah atau jumlah graduan sebagai ukuran utama. Sebaliknya, kita perlu menilai berapa ramai graduan mendapat pekerjaan setara dengan kelayakan mereka, tempoh mencapai pendapatan median, serta sumbangan dalam sektor berkemahiran tinggi.

Selagi pendidikan dilihat sebagai projek infrastruktur semata-mata dan bukan pelaburan modal insan yang berdaya saing, maka negara akan terus tersasar daripada matlamat sebenar.

Agenda pendidikan bumiputera tidak gagal sepenuhnya tetapi belum sampai ke garisan penamat. Ia masih terhenti di separuh jalan, selesa dengan pencapaian awal tanpa menilai hasil jangka panjang. Biasiswa dan akses pendidikan tidak akan mencukupi jika sistem yang menyokongnya masih lemah.
Tiga langkah perlu dilaksanakan segera. Pertama, audit menyeluruh terhadap kualiti graduan bumiputera mengikut bidang dan kebolehpasaran.

Kedua, intervensi awal pendidikan perlu diperkukuh khususnya di kawasan luar bandar, Sabah dan Sarawak kerana jurang bermula sebelum sekolah rendah lagi.

Ketiga, data pendidikan perlu dibuka secara telus kepada penyelidik bebas supaya dasar dapat dinilai secara objektif.

Sijil bukan destinasi akhir. Daya saing sebenar dan keupayaan mencipta nilai dalam ekonomi moden akan menentukan masa hadapan generasi bumiputera. –UTUSAN

 

DR. Abu Sufian Abu Bakar ialah Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Timbalan Pengerusi Forum Ekonomi Manusiawi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN