fbpx

23 Mei 2022, 3:19 am

  TERKINI

Selepas pelekat bahu, isu ‘kepala’ kecewakan Nur Syaiful

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas berdepan isu pelekat bahu, malang terus menimpa perenang negara, Nur Syaiful Zulkafli dalam Sukan Paralimpik Tokyo apabila penyertaannya dibatalkan sekali lagi, kali ini disebabkan isu kepala.

Nur Syaiful menamatkan acara 100 meter (m) kuak dada lelaki SB4 (kecacatan fizikal) di tempat ketiga dalam saringan pertama di Pusat Akuatik Tokyo hari ini.

Dia bagaimanapun terpaksa menerima hakikat saingannya dibatalkan, sekali gus kempunan untuk meneruskan perjuangan ke perlumbaan akhir petang ini.

Semua berpunca gara-gara kepalanya didapati tidak naik ke permukaan air dalam jarak 15 meter awal, sewaktu membuat kuakan.

RABU lalu penyertaan Nur Syaiful dibatalkan kerana isu pelekat bahu.

Pengarah Bahagian Paralimpik Majlis Sukan Negara (MSN), Mohd. Sofian Hamzah mengesahkan perenang berusia 26 tahun itu dibatalkan penyertaannya berikutan satu lagi kesilapan teknikal ketika berenang.

“Kepala Nur Syaiful didapati tidak naik ke permukaan air dalam jarak 15 meter awal, sewaktu membuat kuakan” katanya yang dipetik kepada Bernama.

Perenang dari Jawatankuasa Paralimpik Rusia Dmitrii Cherniaev memenangi saringan itu dengan mencatat 1 minit 33.42 saat (s), diikuti rakan senegaranya, Aleksandr Molkov (1:44.37s) dan ketiga pula milik Francesco Bocciardo dari Itali (1:51.11s).

Hanya lapan perenang terbaik daripada dua saringan dijalankan mara ke peringkat akhir.

Rabu lalu, Nur Syaiful turut mengalami nasib serupa apabila penyertaannya dalam saringan pertama acara 200m gaya bebas lelaki S5 dibatalkan selepas didapati menampal pita pelekat di bahu kirinya bagi mengurangkan kesakitan dialami akibat bisul sejak seminggu lalu.

Begitupun Khamis lalu, Nur Syaiful berjaya memecah rekod peribadi 100m gaya bebas lelaki S5) di perlumbaan akhir dengan mencatat masa 1:15.12s, sekali gus memadam catatan peribadi terdahulu iaitu 1:15.39 di London, United Kingdom pada 2019.

Nur Syaiful, yang mengalami kecacatan kedua-dua kakinya selepas terlibat dalam kemalangan pada usia 17 tahun, masih mempunyai satu lagi peluang bagi membuktikan dirinya apabila dijadual turun semula ke kolam air dalam acara 50m gaya bebas lelaki S5, Rabu ini.

POPULAR

KOSMO! TERKINI