PETALING JAYA: Hukuman kompaun RM2,000 dan khidmat masyarakat 12 jam menanti peserta Rain Rave Musical Festival 2026 yang dikesan membuang sampah merata-rata.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, pihaknya mempunyai rekod individu terbabit dan tidak akan bertolak ansur terhadap perbuatan mengotorkan persekitaran sepanjang tiga hari program terbabit.
“Bagi mereka yang membuang sampah merata-rata, maaf. Kami ada rekod anda dan kami akan mengambil tindakan terhadap anda.
“Kompaun RM2,000 dan 12 jam khidmat masyarakat sedang menanti,” katanya di laman Facebook.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pekerja pembersihan dan pegawai Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang bertungkus-lumus membersihkan jalan raya dan kawasan awam selepas acara berkenaan.
“Saya ingin merakamkan penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pekerja dan pegawai SWCorp yang bekerja tanpa mengenal penat membantu menyapu dan membersihkan jalan selepas acara mega itu.
“Mereka wajar dipuji dan kita memberi tabik hormat serta kasih sayang kepada mereka kerana membantu memastikan bandar kita kekal bersih,” katanya. – UTUSAN










