Sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia Peringkat Kebangsaan 2026 baru-baru ini menjadi titik-tolak kepada usaha pengukuhan gerakan membaca nasional melalui pelaksanaan program Kota Baca 2026, sebuah inisiatif literasi berskala besar.
Program yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan menerusi Perbadanan Kota Buku (PKB) itu dimulakan di Perpustakaan Kuala Lumpur dengan pelbagai pengisian dan dilancarkan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek,
Program tersebut dianjurkan sejajar dengan pelancaran Dekad Membaca Kebangsaan Tahun 2026, pelancaran papan pemuka Peta Malaysia Membaca, program Jom Baca Bersama 10 Minit serta jualan buku dalam talian melalui Book Capital dan TikTok Shop.
Sambutan tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan menjadikan membaca sebagai amalan harian rakyat, di samping mengangkat buku sebagai wahana utama pembinaan masyarakat berilmu selaras dengan aspirasi Malaysia Madani, Dasar Buku Negara dan Dekad Membaca Kebangsaan.
Program tersebut diteruskan momentumnya dengan pelaksanaan fizikal Kota Baca 2026 di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Antara acara utama termasuklah antaranya pelancaran Kota Baca 2026 dan Pidato Negarawan, Acara Tukar Buku Terbesar di Asia Tenggara, Larian Karakter Buku 5 kilometer (km), Kelah serta jualan buku berskala besar di reruai dan secara dalam talian dengan tawaran penghantaran percuma.
Turut diperkenalkan Pasport Kota Baca sebagai inisiatif interaktif bagi menggalakkan penglibatan pengunjung di setiap reruai.
Fadhlina semasa melancarkan program berkenaan berkata, Malaysia Madani bercakap tentang pembangunan yang berteraskan nilai, adab, ilmu dan kemanusiaan dan dalam semua itu, membaca adalah asasnya.
Beliau turut berkongsi pandangan banyak tamadun dunia berkembang dengan asasnya adalah imu dan pembacaan.
“Tamadun tidak bermula dengan kuasa. Tamadun bermula dengan ilmu, dan ilmu bermula dengan membaca,“ ujarnya.
Rantau Nusantara juga bersuara yang mengangkat martabat membaca. Beliau memberi contoh Hamka mengingatkan kita bahawa membaca membina jiwa dan pemikiran.
Pejuang wanita Aceh, Kartini pula menzahirkan bagaimana ilmu dan pembacaan membuka jalan kepada kesedaran, keberanian dan pembebasan yang bukan sahaja untuk dirinya, tetapi untuk seluruh generasi wanita selepasnya.
“Pramoedya Ananta Toer pernah berkata “Orang boleh pandai setinggi langit, tetapi selama ia tidak membaca dan menulis, ia akan hilang daripada masyarakat dan sejarah.”
Malah lebih daripada itu, kata Fadhlina penerima Hadiah Nobel Keamanan 2014, Malala Yousafzai, pernah menyebut: “One child, one teacher, one book, and one pen can change the world”.
Malala tidak tunduk kepada ketakutan walapun diancam, sebaliknya bangkit lebih tinggi dan daripada keberaniannya lahir suara global yang menuntut keadilan pendidikan untuk jutaan kanak-kanak.
Itu sekadar contoh pentingnya ilmu dan pembacaan sekali gus menjadikan program Kota Baca dengan slogan Di Kota ini Semua Membaca itu amat signifikan dalam konteks menyuburkan budaya membaca.
Ini berdasarkan pengisian sepanjang program turut diperkaya dengan pelbagai aktiviti sastera dan budaya seperti persembahan teater Memperkasa Budaya Membaca” oleh Sekolah Seni Malaysia, Malam Baca Puisi anjuran Persatuan Penulis Nasional (PENA) “Gemuruh Puisi”, Pertandingan Bercerita Karya Agung serta sesi temu dan mesra bersama penulis dan Sasterawan Negara.
Di samping itu, program literasi dan intelektual seperti audio siar Telaah Buku, bual bicara berkaitan kecerdasan buatan (AI) serta aktiviti bahasa dan warisan turut diketengahkan bagi memperluas dimensi pembacaan dalam masyarakat.
Kota Baca 2026 dilihat sebagai satu platform strategik untuk memperkukuh budaya membaca secara menyeluruh rakyat menerusi pendekatan yang menggabungkan penglibatan fizikal berskala besar, penyertaan digital dan kempen media sosial seperti #KotaBaca2026, #MalaysiaMembaca, dan #BookTokMalaysia, sekali gus menyokong usaha menjadikan Malaysia sebagai negara pembaca di peringkat serantau dan global.
Antara gimik pelancaran yang mengingatkan kita tentang bersemangatnya peminat buku adalah acara pertukaran melibat 2,890 naskhah buku selama empat jam pada hari pertama program pukul 4 petang hingga 8 malam.
Acara tersebut dikatakan antara yang terbesar di Asia Tenggara.
Acara lain adalah Larian Karakter Buku sejauh lima kilometer jualan buku di Book Capital dan TikTok Shop Pasport Kota Baca iaitu pengunjung mendapatkan cap atau setem di setiap rerua.
Kota Baca yang mengambil inspirasi program yang sama di luar negara menggabungkan acara fizikal dan digital secara bersepadu bagi memperkukuh budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia.
Program tersebut menghimpunkan kementerian, agensi kerajaan, industri buku, penulis, komuniti, dan masyarakat umum dalam satu gerakan nasional yang berteraskan pembinaan masyarakat berilmu selaras dengan beberapa aspirasi dan program seperti Dekad Membaca Kebangsaan, Dasar Buku Negara dan agenda Malaysia Madani sejajar dengan sambutan Hari Buku dan Hak Cipta Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2026.
Kuala Lumpur sudah melontarkan suaranya mengajak rakyat Malaysia di seluruh negara membaca dan diharap bandar raya ini mewakili semua rakyat supaya mengajak yang lain turut membaca.
Berdasarkan angka terkini, kira-kira 88.6 peratus rakyat Malaysia adalah pembaca aktif sama ada buku, bahan digital, majalah dan sebagainya.
Ini bermakna daripada jumlah 33 juta rakyat Malaysia ketika ini, kira-kira 29 juta orang merupakan pembaca aktif.
Rakyat Malaysia dikatakan membaca purata 24 buku setahun dan bahan bacaan itu termasuk 16 buku fizikal + lapan bahan digital.
Ketua Pegawai Eksekutif PKB Adibah Omar berkata, kejayaan Kota Baca wajar dinilai bukan semata-mata pada angka kehadiran, tetapi pada sifat intervensinya sebagai langkah pertama dalam merakyatkan buku ke ruang awam yang paling simbolik.
Penganjuran di Dataran Merdeka memperlihatkan peralihan penting daripada buku sebagai domain institusi kepada buku sebagai pengalaman budaya terbuka.
“Pendekatan ini sejajar dengan prinsip bahawa pembinaan tabiat membaca bermula dengan keterlihatan, kebolehcapaian, dan rasa memiliki dalam kalangan masyarakat.
“Kota Baca menampilkan ekosistem pembacaan yang hidup dan inklusif, daripada sesi bacaan pelajar, aktiviti keluarga, hingga perbincangan tentang AI dan masa depan ilmu,” ujarnya.
Cabaran kepada program tersebut kata Adibah adalah bagaimana mencari pembaca baharu mengggantikan peminat buku sedia ada. –UTUSAN









