Konflik yang berlaku di Asia Barat bukan setakat bahana perang tetapi kita dikejutkan krisis yang menjejaskan bahan api dunia. Ramai daripada kita tiba-tiba mahu berubah kiblat tenaga daripada yang berasaskan fosil atau hidrokarbon seperti gas dan minyak kepada tenaga hijau atau tenaga bersih terutama tenaga boleh diperbaharui (RE).
RE ada banyak kategori tenaga iaitu solar, tenaga ombak, bio bahan , angin dan elektik hidro tetapi paling menonjol adalah solar mungkin kerana mudah diperoleh.
Sebenarnya fasa penggunaan tenaga kita berubah, tetapi sikap kita terhadap tenaga tidak berubah. Kita akan ‘melompat’ seketika seperti beruk kena belacan apabila kebimbangan menimpa ekoran isu krisis bahan api.
Tiba tiba Selat Hormuz puna menjadi popular kerana fungsinya menjadi laluan penting kepada pergerakan atau pengedaran minyak dan hasil sampingan minyak seperti baja.
Kebimbangan kita berasas disebabkan manusia hanya boleh hidup dengan adanya bahan api untuk bergerak, masak , memanaskan badan dan pelbagai keperluan asas lain.
Namun, sikap kita terhadap penggunaan tenaga tetap tidak berubah, bukan sahaja membazir tetapi tidak menghargainya, malah menganggap sentiasa ada dan tersedia. Maka dengan sebab itu, tiada kesungguhan atau ketetapan persediaan kita menghadapi krisis tenaga.
Beberapa dekad lepas apabila menghadapi krisis tenaga, saya masih ingat kita mahu beralih kepada penggunaan tenaga nuklear.
Maka kita mula meninjau kemudahan loji teknologi nuklear daripada luar negara dan Korea antara yang Malaysia berminat.
Ada tiga teknologi janaan nuklear Korea dibangkitkan ketika itu, malah kita sudah sampai ke peringat menetapkan lokasi loji yang ingin dibangunkan, di sebuah kawasan di Pantai Timur berhampiran pantai dengan kapasiti pengeluaran kira-kira 1000 megawatt. Itu cerita 40 tahun lepas.
Lama cerita itu senyap dan kita semakin senyap apabila ada penemuan telaga minyak baharu dan dalam masa sama, tidak berlaku krisis tenaga.
Demikian naratifnya apabila isu tenaga, hanya muncul setiap kali kita berasa diancam isu krisis minyak.
Antara kelebihan tenaga solar adalah cuaca panas di Malaysia pada tahap paling panas adalah selama antara empat hingga enam jam sehari dan ini memungkinkan kita memerangkap tenaga solar sebagai tenaga.
Kebimbangan akan menjadi kekal, tetapi seolah-olah tidak berusaha memikirkan peralihan daripada sumber tenaga berasaskan bahan api fosil ini kepada alternatif yang boleh diperbaharui dan mampan.
Tenaga solar merupakan salah satu sumber menawarkan potensi yang banyak, bersih dan boleh diperbaharui.
Maka, peralihan tenaga merujuk kepada peralihan global daripada pergantungan bahan api fosil ke arah sumber tenaga lebih bersih, lebih mampan untuk mengurangkan kesan perubahan iklim, meningkatkan keselamatan tenaga dan menggalakkan pembangunan ekonomi.
Peralihan tersebut melibatkan campuran tenaga dengan menggabungkan sumber tenaga RE seperti tenaga suria, angin, hidro dan biojisim di samping meningkatkan kecekapan tenaga dan mengurangkan pelepasan karbon.
Malaysia dikatakan menyasarkan untuk menghasilkan tenaga elektrik boleh diperbaharui daripada 40 peratus menjelang 2040 kepada 70 peratus menjelang 2050. Sasaran tersebut bakal dicapai dengan menggunakan tenaga solar.
Panel suria fotovolta adalah peranti yang menukar sinaran suria terus kepada elektrik dan diperbuat daripada bahan semikonduktor seperti silikon. Terdapat dua jenis sistem fotovolta, sistem kendiri dan juga sistem tersambung grid.
Sistem kendiri mengecas bateri dan digunakan kawasan terpencil manakala sistem bersambung grid mengalirkan elektrik secara terus ke grid.
Panel boleh dipasang di atas bumbung, di ladang suria, atau disepadukan ke dalam pelbagai struktur.
Sumber tenaga lain seperti angin dan biojisim boleh juga digunakan sebagai sistem hibrid bersama tenaga suria.
Bagaimana pun, teknologi tenaga solar menghadapi beberapa cabaran yang menghalang penggunaan secara meluas.
Satu halangan utama adalah penjanaan tenaga solar bergantung kepada keadaan cuaca memandangkan ciri sinaran suria terputus-putus.
Teknologi penyimpanan tenaga seperti bateri untuk tenaga elektrik dan storan terma untuk tenaga haba penting untuk menangani isu ini, membolehkan tenaga berlebihan yang dijana semasa waktu puncak, cahaya matahari disimpan dan digunakan apabila diperlukan.
Sistem fotovolta tidak semestinya dipasang atas tanah, tetapi sistem yang dipasang pada pelantar.
Apa lagi sebenarnya masalah kita yang sering acah-acah mahu berubah daripada berasaskan fosil kepada tenaga lebih hijau? Komitmen atau kemahuan politik salah satu masalahnya?
Apabila mahu menjadikan nuklear sebagai alternatif, kerajaan memberi alasaan pengurusan sisa nuklear menjadi masalah. Kita pun sudah ada dasar tenaga yang jelas.
Sebagai contoh, Dasar Tenaga Kelima (DTK) yang yang dilancarkan pada 2022 oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli menjadi polisi tenaga utama negara.
Dasar tersebut menjadi panduan pembangunan sektor tenaga negara hingga 2040 bertujuan memastikan bekalan tenaga mencukupi dan stabil, tenaga yang mampu milik untuk rakyat, kelestarian alam sekitar (rendah karbon) serta daya saing ekonomi negara.
DTK dibina atas tiga teras penting iaitu keselamatan tenaga. Ia bagi memastikan bekalan tenaga sentiasa mencukupi dan tidak bergantung kepada satu sumber sahaja dan kedua, kelestarian iaitu menggalakkan penggunaan tenaga RE untuk mengurangkan pencemaran manakala ketiga, keterjangkauan iaitu harga tenaga dapat dikawal supaya tidak membebankan pengguna.
Datuk Seri Mohd. Azhar Yahya yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Sains Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTEC) mengakui, inilah masanya penggunaan solar diberi penekanan sejajar dengan salah satu teras Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) untuk pengurangan karbon.
Kata beliau, oleh kerana solar merupakan tenaga bersih, maka sewajarnya diberi penekanan supaya perancangan itu jelas menampakkan kita bergerak selari dengan SDG.
“Kita kena ada perancangan yang teratur bagaimana hendak mengurus sisa daripada solar panel, selepas tidak lagi efficient atau selepas kontrak dengan kerajaan selama 10 tahun, sebaliknya perlu memikirkan lanjutan kontrak kepada 15 tahun, disebabkan untuk pemasangan bumbung solar, pemilik rumah sudah keluarkan modal yang agak besar,” ujarnya.
Dalam hal yang lain, kita sudah pun bergerak ke arah pembangunan kenderaan elektrik (EV) bagi mengelakkan industri pengangkutan terlalu bergantung kepada bahan api fosil. Selain EV, antara pilihan bahan api lain ialah hidrogen. Inisiatif penggunaan tenaga hidrogen juga satu pilihan.
Malah, sudah kedengaran Malaysia dikatakan sedang mengintai Program Perintis Hidrogen China. Meski pun belum disahkan tetapi ada ‘cakap cakap’ Malaysia ingin bekerjasama dengan satu pihak di China yang telah melancarkan projek berkenaan dan Malaysia menerusi MOSTI, Kementerian Kewangan dan National Development and Reform Commission dikatakan turut terbabit.
Projek berkenaan hanya baru didengar dan tidak ada pengesahan mengenainya tetapi jika betul, projek hidrogen sebagai bahan api sesuatu yang menarik.
Saya pernah menguji pandu sebuah kenderaan yang menggunakan hidrogen sebagai bahan api. Teknologi tersebut cuba dibangunkan oleh pihak tertentu.
Meski pun niatnya murni supaya kita tidak terlalu bergantung kepada bahan api fosil tetapi teknologi tersebut perlu banyak penambah baikan terutama aspek kecekapan dan keselamatan.
Ini kerana menggunakan hidrogen untuk menggerakkan kenderaan bermakna kita perlu memperkenalkan stesen hidrogen sama seperti minyak.
Sistem enjin kenderaan hidrogen pula memerlukan teknologi fuel cell yang tidak membabitkan enjin pembakaran (combustion) dalaman (ICE).
Penggunaan hidrogen boleh sahaja digunakan sebagai bahan api kenderaan terutama kategori trak dengan matlamat utamanya sebagai alternatif kepada penggunaan minyak. Soalnya mahukah kita beralih (move on) kepada RE?. – UTUSAN










