Masih adakah amalan kita dalam bulan Ramadan boleh dikaitkan dengan ibadah? Beriktiqaf di surau atau masjid, mengaji al-Quran dan bersabar menghadapi segala cabaran berpuasa.
Namun dalam masa sama kononnya kita beribadah, kita berpesta juadah, makan hampir tidak berhenti seolah-olah esok tidak akan ada makan lagi. Masa berbuka kita seolah- olah ingin mengunyah semuanya dan akhirnya membazir.
Hidangan juadah berbuka puasa kita luar biasa dan banyak, tetapi tidak semua dimakan sebaliknya di bazirkan begitu sahaja.
Gejala pembaziran makanan dalam bulan Ramadan ini akhirnya mencetuskan inisiatif sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) iaitu GEMA menggerakkan Program MySaveFood@Ramadan sebagai komitmen berterusan menangani pembaziran khususnya sepanjang Ramadan.
Program tersebut diadakan dengan kerjasama Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan bagi tahun ini, ia membabitkan 67 bazar Ramadan di seluruh negara dengan sokongan seramai 965 orang sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai NGO serta pelajar universiti.
Sehingga 1 Mac lalu sebanyak 24,341 kilogram (kg)makanan yang tidak terjual berjaya diselamatkan dan seterusnya diagihkan kepada golongan yang memerlukan.
Inisiatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan pembaziran makanan yang boleh menyumbang kepada pencemaran alam sekitar, malah memastikan lebihan makanan yang masih selamat dimakan dapat dimanfaatkan oleh keluarga kurang berkemampuan.
Usaha tersebut ternyata selari dengan aspirasi kelestarian dan tanggungjawab sosial dalam pengurusan sisa makanan negara.
Program MySaveFood@Ramadan turut memberi impak signifikan kepada pembangunan belia.
Ini kerana penglibatan aktif golongan muda seluruh negara membuktikan bahawa mereka berupaya menjadi ejen perubahan dalam membawa impak sosial yang positif kepada masyarakat.
Kata penggerak berkenaan, menerusi program tersebut, makanan yang masih elok dimakan boleh dikongsi bersama mereka yang lebih terdesak dan memerlukan terutamanya golongan pelajar dan golongan yang berpendapatan rendah.
Isu pembaziran makanan ini masih dianggap serius sebab dalam apa-apa majlis atau perayaan sekali pun, pasti ada lambakan makanan yang dibuang, melainkan kalau makanan itu betul-betul sudah tidak boleh dimakan.
Sudah ada pihak yang mempunyai kesedaran untuk kawal portion makanan yang diperlukan sama ada kongsi atau beri makanan yang belum diusik dan selamat dimakan kepada golongan yang memerlukan.
Tapi bagi mereka yang masih belum sedar, perkara ini akan membawa kepada beberapa isu lain seperti isu kebersihan alam sekitar, kesihatan dan lain-lain.
Pada bazar Ramadan kecenderungan pembaziran paling ketara adalah air. Kemudian makanan seperti kuih muih, nasi lemak. Tapi semua ini bergantung kepada keadaan cuaca juga. Kalau cuaca tidak baik, pengunjung bazar tidak ramai datang membeli, maka tidak banyak yang terjual, lagi banyak yang perlu diselamatkan.
Kebiasaannya mereka buang sahaja, atau pun mereka dijual semula pada harga yang lebih rendah pada waktu tertentu sahaja. Namun kebanyakan hotel tidak berani berkongsi makanan tersebut sebab mereka mengikut protokol keselamatan makanan yang ketat.
Mengenai hal ini Dr. Sri Ganesh Michiel yang merupakan Presiden Persatuan Hotel Bajet & Bisnes Malaysia (MyBHA) beliau, makanan yang tidak habis dimakan oleh tetamu di hotel, biasanya dianggap sebagai sisa makanan atas faktor kebersihan dan keselamatan makanan
Dalam pada itu, Ketua Projek Inisiatif MySaveFood, Aniadila Kamaruddin memberitahu, inisiatif tersebut bukan sahaja menyumbang kepada pengurangan sisa makanan yang boleh memberi kesan negatif kepada alam sekitar, malah memastikan lebihan makanan yang masih selamat dimakan, boleh dimanfaatkan sebaiknya oleh komuniti yang kurang berkemampuan.
Pendekatan itu selaras dengan agenda kelestarian atau Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) serta usaha memperkukuh rantaiman makanan. Usaha menyelamatkan lebihan makanan dan minuman peniaga bazar Ramadan yang tidak terjual melalui inisiatif berkenaan banyak membantu mengurangkan jumlah sisa makanan yang dihantar ke tapak pelupusan sampah.
Sejak dilancarkan pada tahun 2016, MySaveFood menjadi platform penyelarasan pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan (PBT), NGO, institusi pengajian tinggi dan komuniti dalam menangani isu kehilangan dan pembaziran makanan (food loss and food waste) secara lebih sistematik.
Dari sudut dasar, pelaksanaan MySaveFood adalah selari dengan aspirasi Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 yang menekankan pengukuhan keterjaminan makanan (food security), kecekapan rantaian bekalan serta pengurangan kehilangan dan pembaziran makanan di sepanjang rantaian nilai.
Berdasarkan sejarah, cetusan idea MySaveFood@Ramadan bermula di Bazar Ramadan Kampung Baru pada 2016 melalui inisiatif seorang belia tempatan, Mohamad
Rahimi Adnan, yang kemudiannya disokong oleh Inisiatif MySaveFood dengan menjadikan program tersebut flagship untuk menangani isu pembaziran makanan yang meningkat dalam bulan Ramadan. Pemuda GEMA mula menyertainya pada 2017 dan seterusnya dikelolakan oleh Pemuda GEMA.
Memang benar kita membazir. Faktanya adalah pada 2024, isu pembaziran makanan terus menjadi kebimbangan utama.
Negara ini menghasilkan sekitar 8.3 juta tan metrik sisa makanan setiap tahun, dengan setiap individu menyumbang secara purata sebanyak 259.82 kilogram (kg). Setiap hari, kira-kira 17,000 tan sisa makanan dibuang, dengan 4,005 tan atau 24 peratus daripadanya masih boleh dimakan dan sepatutnya diagihkan kepada mereka yang memerlukan.
Antara faktor utama yang menyumbang kepada pembaziran makanan termasuklah antaranya kekurangan perancangan dalam pembelian bahan makanan, pembelian makanan secara berlebihan, serta pembuangan makanan yang masih boleh dimakan akibat tarikh luput yang hampir atau rupa yang kurang menarik atau kurang sedap.
Faktor utama penyumbang kepada peningkatan pembaziran makanan dalam bulan Ramadan iaitu pembelian berlebihan, penyediaan makanan berlebihan dan kurangnya kesedaran mengenai pengurusan sisa makanan.
Apabila cuaca kurang baik iaitu jika hujan lebat, kurang pengunjung ke bazar dan memberi kesan kepada jumlah jualan peniaga.
Beberapa isu pembaziran makanan yang perlu kita teliti ketika ini adalah peningkatan sisa makanan.
Ini berdasarkan laporan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), bahawa sisa makanan yang dibuang di Malaysia meningkat 15 hingga 20 peratus semasa musim perayaan, termasuk bulan Ramadan.
Selain itu jumlah sisa makanan meningkat. Pada 2023 pula dilaporkan bahawa Malaysia mencatatkan pembuangan sisa makanan sehingga 12,000 tan sehari sepanjang bulan Ramadan. Perkara itu berlaku pada bulan Ramadan, ketika Islam meminta umatnya melipat gandakan ibadah namun pembaziran makanan sudah dimulakan. Itu Ramadan, dan bagaimana pula Syawal yang bertandang bersama rumah terbuka nanti.
Bagaimana pula senario sisa makanan di hotel?.
Bagi Sri Ganesh lagi, makanan yang telah dihidangkan dan berada di pinggan tetamu, ia tidak boleh digunakan semula atau diagihkan kepada orang lain, maka kebiasaannya ia akan dilupuskan mengikut garis panduan kesihatan yang ditetapkan. Bagaimanapun, lebihan makanan yang telah disediakan, tetapi belum dihidangkan
kepada tetamu boleh disumbangkan kepada organisasi kebajikan yang akan membantu mengagihkan makanan tersebut kepada golongan yang memerlukan.
“Selain itu, sebahagian sisa makanan juga boleh diproses menjadi kompos dan sebagai baja semula jadi,” ujarnya.-UTUSAN










