Memanjang cuti sakan, ada pihak tanggung beban

Memanjang cuti sakan, ada pihak tanggung beban

Cuti yang terlalu banyak dan mengejut menimbulkan implikasi kepada produktiviti. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Baru-baru ini, apabila kerajaan mengumumkan cuti tambahan memandangkan ada dakwaan Aidifitri dijangka awal iaitu pada Jumaat, 20 Mac, Perdana Menteri

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan cuti pada Khamis dan kemudian Isnin, 23 Mac 2026, ertinya begitu mudahnya cuti diberikan.

Maka, kita seronok bercuti tanpa mengambil kira kesannya kepada produktiviti syarikat dan negara.

Kita sering dikejutkan dengan banyaknya cuti dalam negara kita. Cuti umum yang diberikan oleh Kerajaan Persekutuan dan Negeri bergantung kepada bidang kuasa masing-masing.

Sebagai perbandingan, di Malaysia terdapat 11 hari tidak termasuk cuti yang diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri dengan jumlah keseluruhan boleh menjangkau 13 atau 14 hari, sedangkan Singapura ada 11 hari tetap manakala di Indonesia selama 16 hari tidak termasuk cuti bersama dan boleh menjangkau kepada 20 hari.

Pelbagai cuti kita ada. Selain cuti rehat ada juga cuti sakit, dan cuti-cuti lain yang diperuntukkan di bawah Akta Kerja 1955.

Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Undang -Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) , Dr. Mohd. Shahril Nizam Md. Radzi, cuti umum juga telah dinyatakan dengan jelas di bawah akta tersebut, bagi membolehkan majikan merancang pengoperasian dan pekerja menikmati rehat, sebelum kembali melaksanakan amanah yang diberikan.

Kata beliau, di bawah Seksyen 60D Akta Kerja 1955, pekerja di Malaysia berhak mendapat sekurang-kurangnya 11 hari cuti umum setahun, iaitu lima hari adalah wajib seperti Hari Kebangsaan, Hari Malaysia, Hari Pekerja, Hari Keputeraan Agong, dan Hari Keputeraan Raja/YDP Negeri) serta enam hari lagi dipilih oleh majikan.

Selain lima hari yang telah diwarta itu, cuti umum wajib juga perlu diberikan kepada pekerja berdasarkan Hari Pelepasan yang telah diumumkan oleh Kerajaan Persekutuan di bawah Sek 8 Akta Hari Pelepasan 1951.

Terdapat enam hari cuti umum pilihan, antaranya ialah cuti Tahun Baharu Cina, cuti Raya Aidilfitri, cuti Deepavali, cuti Krismas, Nuzul Quran, Thaipusam dan Hari Raya Aidiladha.

Selain cuti umum pilihan tersebut, majikan juga boleh memilih cuti berdasarkan pengumuman yang dibuat oleh Kerajaan Negeri berdasarkan Akta Hari Pelepasan 1951.

Mengapa kita perlu bercuti dan berapa lama kita perlu bercuti? Cuti umum merupakan satu elemen penting dalam sistem perundangan buruh di Malaysia yang bertujuan menjaga kebajikan pekerja serta mengiktiraf kepelbagaian budaya dan agama dalam masyarakat.

Di Malaysia, peruntukan mengenai cuti umum diperuntukkan di bawah Akta Hari Kelepasan 1951, manakala hak pekerja berkaitan bayaran dan kelayakan pula dilindungi oleh Akta Kerja 1955.

Antara kelebihan utama mempunyai cuti umum yang banyak adalah peningkatan kesejahteraan pekerja.

Dengan adanya lebih banyak hari rehat, pekerja dapat mengurangkan tekanan kerja serta mengelakkan keletihan melampau atau burnout (luput upaya).

Pada hari cuti, masyarakat kita cenderung untuk melancong, membeli-belah, dan melakukan aktiviti rekreasi bersama keluarga.

Hal ini secara tidak langsung meningkatkan permintaan dalam sektor pelancongan, perhotelan, dan peruncitan.

Oleh itu, walaupun terdapat pengurangan hari bekerja, aktiviti ekonomi masih dapat berkembang melalui peningkatan perbelanjaan pengguna dalam negara.

Bagaimanapun, terdapat juga beberapa kekurangan yang perlu diberi perhatian. Antaranya adalah peningkatan kos operasi kepada majikan.

Berdasarkan peruntukan undang-undang buruh, pekerja tetap berhak menerima gaji walaupun tidak bekerja pada hari cuti umum.

Malah, sekiranya pekerja diarahkan untuk bekerja pada hari tersebut, majikan perlu membayar kadar bayaran yang lebih tinggi seperti bayaran dua kali ganda atau tiga kali ganda. Keadaan ini boleh memberi tekanan kewangan terutamanya kepada perusahaan kecil dan sederhana.

Selain itu, cuti umum yang banyak boleh menyebabkan gangguan kepada kelancaran operasi organisasi. Projek dan tugasan mungkin tertangguh, terutamanya jika cuti tersebut berlaku secara kerap atau berturutan.

Berikut adalah butiran mengenai cuti umum di bawah Akta Kerja 1955:
• Cuti Umum Wajib (Mandatori):
1. Hari Kebangsaan (31 Ogos).
2. Hari Malaysia (16 September).
3. Hari Pekerja (1 Mei).
4. Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong.
5. Hari Keputeraan Yang di-Pertua Negeri atau Pemerintah (mengikut negeri tempat bertugas) atau Hari Wilayah Persekutuan (jika bekerja di WP).

Hal ini boleh menjejaskan kecekapan pengurusan masa dan pencapaian sasaran organisasi. Dalam konteks yang lebih luas, jumlah hari bekerja yang berkurangan juga boleh memberi kesan kepada daya saing ekonomi negara, terutamanya dalam menarik pelaburan asing yang menitikberatkan produktiviti dan kecekapan.

Kesimpulannya, cuti umum yang banyak mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Walaupun ia menyumbang kepada kesejahteraan pekerja, merangsang ekonomi domestik, dan memupuk perpaduan masyarakat, ia juga membawa cabaran dari segi kos, produktiviti, dan pengurusan operasi.

Namun berbeza pula pandangan Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia (Samenta), Datuk William Ng yang menyuarakan kebimbangan terhadap amalan pengisytiharan cuti umum tambahan secara mengejut yang disifatkan memberi kesan negatif kepada operasi perniagaan, khususnya perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Kebimbangan beliau itu disokong oleh Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia, Norsyahrin Hamidon yang mengakui tidak bersetuju dengan cuti yang sangat banyak di negara ini.

“Kalau hendak adakan cuti panjang seminggu lebih baik dan berkualiti supaya ahli perniagaan boleh merancang perniagaan mereka.

“Cuti panjang hanya bagus untuk pekerja, masa berkualiti untuk keluarga, lebih baik sehari cuti umum tapi selepas itu pekerja ambil sijil cuti sakit (MC) disebabkan masa cuti yang pendek,” ujarnya.

Selain itu kata Norsyahrin, cuti yang banyak boleh menyebabkan produktiviti negara juga akan menurun kerana perusahaan kecil dan sederhana (SME) terjejas sedangkan perniagaan SME menjadi tunjang ekonomi Malaysia ketika ini.

Majikan pula terpaksa menanggung kos operasi yang bertambah kerana mereka terpaksa membayar kerja lebih masa bagi menggantikan cuti umum.

Cuti umum dan cuti peristiwa memainkan peranan penting dalam meraikan kepelbagaian budaya di negara ini, di samping memberi ruang rehat kepada rakyat.

Dalam konteks pendidikan. Cuti juga memberi peluang kepada guru dan murid untuk merehatkan minda, mengurangkan tekanan, serta mengukuhkan hubungan kekeluargaan yang menjadi asas kepada kesejahteraan emosi pelajar.

Namun begitu, bagi Presiden Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Lepasan Maktab Semenanjung Malaysia (KKGLMSM), Mohamad Zapawi Mamat, pihaknya berpandangan bahawa kekerapan cuti yang terlalu rapat, khususnya apabila berlaku secara berturut-turut, boleh memberi kesan langsung kepada ekosistem pendidikan di sekolah.

Kata beliau bagi guru, keadaan ini boleh menjejaskan perancangan pengajaran dan pembelajaran (PdP), termasuk penyusunan aktiviti, pentaksiran serta usaha memastikan silibus dapat dihabiskan mengikut jadual.

Bagi murid, gangguan yang kerap terhadap jadual persekolahan boleh menjejaskan fokus, disiplin pembelajaran serta kesinambungan pemahaman terhadap sesuatu topik.

Maksudnya kita boleh sahaja bercuti tanpa memikirkan implikasinya secara makro tetapi berdasarkan rungutan tersebut, kalau kita tidak begitu serius menjalankan amanah, bayangkan apabila cuti terlalu banyak?

Meskipun dalam hal tertentu, kita layak bercuti atas nasihat doktor atas faktor mendapatkan rawatan, ramai rakan sekerja menanggung beban dan majikan menanggung kos. Cuti perlu lah berpada-pada supaya tidak banyak pihak terbeban.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN