fbpx

23 Mei 2022, 4:26 am

  TERKINI

Basikal ‘Jijoe’ dikomersialkan

BASIKAL berteknologi tinggi yang digunakan Azizulhasni Awang di Sukan Olimpik Tokyo 2020 bakal berada di pasaran komersial dalam masa terdekat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Basikal berteknologi tinggi yang digunakan Datuk Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom pada Sukan Olimpik Tokyo 2020 bakal dikomersialkan dalam bentuk ‘simplified’ atau mampu milik.

Institut Sukan Negara (ISN) yang membangunkan basikal tersebut bersama Vorteq dan Worx Bikes sedang mengadakan rundingan bagi menghasilkan ‘jentera’ yang melalui proses pembuatan dipermudahkan selain menggunakan bahan lebih murah.

Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Md. Ramli berkata, mereka akan memastikan harga jualan basikal tersebut lebih kompetitif dan mampu milik untuk digunakan oleh pelumba yang bertanding di peringkat profesional mahupun antarabangsa.

ISN bersama Vorteq dan Worx Bikes akan menghasilkan basikal yang lebih ‘simplified’.

“Basikal jenis simplified ini disasarkan dijual di Asia Tenggara pada peringkat awal, kemudian seluruh dunia jika mendapat sambutan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ketika ditanya adakah basikal yang digunakan pemenang pingat perak di Olimpik Tokyo itu akan dikomersialkan, Faedzal berkata, ia sudah pun berada di pasaran sejak tahun lalu.

“Basikal yang digunakan Azizul telah pun berada di pasaran sejak tahun 2020 bagi memenuhi syarat UCI (Kesatuan Basikal Antarabangsa).

“Basikal yang digunakan bagi berlumba perlulah diiklankan agar memberi peluang yang adil kepada negara-negara lain untuk mendapatkannya jika perlu,” ujarnya.

Mengulas berhubung penyelidikan dan pembangunan (R&D) basikal WX-R Vorteq, Faedzal berkata, hasil prototaip yang dibangunkan itu juga akan digunakan bersama atlet-atlet lain melalui Program Majlis Sukan Negara (MSN) bagi tujuan pembelajaran dan pengujian.

Ahmad Faedzal Md. Ramli

“Projek R&D dijalankan merangkumi pembangunan peralatan berbasikal seperti roda, rangka basikal, palang pengendali, skinsuit dan teknologi latihan yang membantu memberi
kelebihan prestasi atlet semasa pertandingan nanti.

“Ia juga termasuk maklumat dan kaedah baharu yang dibelajari dalam latihan dan pertandingan yang terlibat jurulatih-jurulatih negara dalam Program Pelapis MSN.

“Atlet seperti Fahdil Zonis dan Anis Amira berpeluang sendiri menjalani proses R&D tersebut dan memiliki basikal WXR,” jelasnya.

Kata Faedzal, program tersebut bukan sahaja memberi impak kepada Azizulhasni dan Shah Firdaus Sahrom, malah turut memberi impak kepada atlet pelapis, jurulatih dan pasukan yang terlibat.

Basikal WXR-Vorteq yang digunakan oleh Azizulhasni dan Shah Firdaus di Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebelum ini menjadi bualan kerana dibangunkan dengan R&D mencecah RM13 juta, malah sebuah basikal dikatakan bernilai RM300,000.

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI