Aidil ‘tenangkan’ pemain Kedah - Utusan Malaysia

Aidil ‘tenangkan’ pemain Kedah

BIARPUN diselubungi isu tunggakan gaji, pemain Kedah tetap bersemangat menjalani latihan dalam persiapan menghadapi Johor Darul Ta’zim (JDT) pada suku akhir Piala Malaysia esok. - IHSAN KDA FC
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Beberapa bintang import dan pemain muda yang menjadi tonggak Kedah Darul Aman FC (KDA FC) difahamkan mula berkira-kira untuk meninggalkan pasukan musim depan berikutan kemelut bayaran gaji yang berulang.

Menurut sumber dalaman kelab, situasi kurang menyeronokkan itu secara tidak langsung menjejaskan fokus pemain menjelang suku akhir Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Darul Aman esok.

“Ada dalam kalangan pemain yang turut keberatan turun berlatih, namun jurulatih, Aidil Sharin Sahak banyak memainkan peranan.

“Ketika ini pemain mengharapkan supaya ada penyelesaian terhadap isu tersebut. Setidak-tidaknya, ada perbincangan antara pihak pengurusan dan pemain berhubung isu itu,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan, Kedah sekali lagi dihantui isu tunggakan gaji selama dua bulan yang dikhuatiri mengganggu tumpuan pasukan untuk memenuhi harapan penyokong bagi memberi tentangan terhadap juara bertahan, JDT pada suku akhir Piala Malaysia.

Sumber itu bagaimanapun berkata, bagi meredakan keresahan pemain, pihak pengurusan telah melunaskan tunggakan sebulan gaji pada pukul 8 malam tadi.

KPAH SHERMAN

Sementara itu, biarpun isu gaji mencetus suasana kurang menggembirakan dalam kem Kedah, namun tonggak import mereka, memilih untuk berkorban buat pasukan dengan tidak mewakili negaranya pada kelayakan Piala Dunia 2022 yang berlangsung esok selepas mengadakan perbincangan dengan Aidil.

“Liberia masih ada dua perlawanan dalam kelayakan Piala Dunia, namun disebabkan kami sudah tiada peluang layak, saya ambil keputusan tidak pulang mewakili skuad kebangsaan walaupun wakil pasukan itu ada meminta saya menyertai mereka.

“Saya lakukan ini kerana Aidil bercakap dengan saya. Walaupun tiada siapa dari pihak pengurusan bercakap dengan saya atau pemain-pemain lain, tetapi jurulatih datang berbincang dan saya akur dengan apa yang diperkatakan,” katanya.

Ditanya mengenai kehadiran penyokong ke stadium, Sherman berkata, perkara itu sudah tentu mendatangkan semangat buat para pemain.

“Penyokong sebahagian daripada pasukan ini dan sudah tentu kehadiran mereka sedikit menambah semangat. Walaupun ketika ini kami tiada motivasi tambahan, namun saya harap kehadiran penonton dapat menambah semangat kami,” katanya.

Dalam pada itu ketua pasukan, Baddrol Bakhtiar pula berkata, walaupun tidak mendedahkan secara terus mengenai masalah yang menimpa, namun turut seolah-olah berkias mengenai keadaan semasa.

“Kami mengharapkan keajaiban di dalam dan luar padang. Kita mengharapkan satu motivasi tinggi yang dapat suntikan semangat dengan kehadiran penyokong di Stadium Darul Aman.

“Tetapi kita kena akui bahawa JDT merupakan pasukan terbaik di Malaysia dan liga kita dari segi pemain, fasiliti serta pengurusan pasukan yang mementingkan kebajikan pemain,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya