Diri sendiri musuh terbesar Farah Ann - Utusan Malaysia

Diri sendiri musuh terbesar Farah Ann

FARAH Ann Abdul Hadi (kanan) bersama Nataliya Sinkova dalam sesi latihan di Tokyo semalam. - IHSAN FACEBOOK FARAH ANN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Jangan tertekan, fokus untuk ‘menewaskan diri sendiri’ dan nikmati pengalaman hebat beraksi dalam Sukan Olimpik buat kali pertama.

Itu pesanan jurulatih gimnastik kebangsaan, Nataliya Sinkova kepada Farah Ann Abdul Hadi yang akan memulakan perjua­ngan dalam saingan kelayakan all-around wanita hari ini.

Selepas seorang lagi gimnas negara, Jeremiah Loo gagal me­raih tiket pusingan akhir lelaki, tumpuan terarah kepada Fa­rah Ann untuk memahat sejarah.

“Farah Ann seorang yang kuat berusaha dan tidak mudah berputus asa. Kami tahu ramai meletakkan harapan kepadanya.

“Bagi saya, cukuplah dia memberi aksi terbaik dan me­lakukan rutin dengan kemas, selain kurang kehilangan mata.

“Musuh utama dia adalah ­dirinya sendiri. Jika dia mampu lawan diri sendiri maka saya berpuas hati,” katanya.

AKSI Jeremiah Loo ketika bertanding dalam saingan all-around lelaki Sukan Olimpik 2020 di Tokyo semalam. – KAMARUL AKHIR/ASIANA

Kata Sinkova, latihan di Pusat Gimnastik Ariake berjalan baik dan Farah Ann sangat bersemangat untuk beraksi.

Farah Ann, 27, berada dalam Kumpulan 4 bersama Giulia Steingruber dari Switzerland, Oksana Chusovitina dari Uzbekistan, Lihie Raz Israel dan ­Luciana Alvarado dari Costa Rica.

Steingruber satu-satunya gimnas dalam kumpulan itu yang memenangi pingat Olimpik, iaitu gangsa ketika di Rio 2016.

Sementara itu, harapan ­Jeremiah untuk ke final all-around individu tertutup selepas menamatkan Kumpulan 1 di kedudukan ke-19 dengan 67.498 mata.

“Jeremiah sudah melakukan yang terbaik. Meraih tiket ­Olimpik pada saat akhir­nya memerlukan dia menjalani latihan hebat dalam tempoh singkat.

“Ini pengalaman amat bagus buatnya,” kata jurulatih Jeremiah, Ng Shu Liang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.