Venue Sukma Johor jadi projek gajah putih? - Utusan Malaysia

Venue Sukma Johor jadi projek gajah putih?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri berada dalam dilema apabila venue dibangunkan bagi penganjuran Sukan Malaysia (Sukma) Johor 2020 yang menelan belanja kira-kira RM500 juta menjadi projek gajah putih, setelah ia siap dibina sejak 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan negeri, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, pihaknya sudah menyediakan takwim program serta kejohanan terbuka di beberapa venue terbabit namun tidak dapat dilaksanakan disebabkan faktor penularan pandemik Covid-19.

Kata beliau, pihaknya juga terpaksa menolak permohonan daripada kontinjen negeri lain yang mahu ‘mencuba’ infrastruktur bertaraf antarabangsa itu kerana terpaksa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

ONN HAFIZ GHAZI

“Kita sudah membelanjakan hampir separuh bilion dengan bantuan kerajaan negeri dan kerajaan Pusat bagi pembinaan keseluruhan venue Sukma Johor 2020 ini, namun ia belum dapat digunakan lagi.

“Kita sudah merangka cadangan aktiviti yang akan dianjurkan dengan kerjasama pihak Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ), pihak persatuan sukan negeri dan kebangsaan malah tidak kesampaian akibat kekangan PKP.

“Apa yang boleh kita buat adalah untuk memastikan kesemua venue ini diselenggarakan dengan baik. Kita tidak mahu nanti apabila tiba masa penganjuran Sukma Johor 2020, venue itu sudah tidak boleh pakai,” katanya selepas sesi dialog Johor Sports Masterplan 2030, di sini.

Mengulas lanjut, Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri kini membelanjakan kira-kira RM6.4 juta setahun bagi menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan di kesemua venue Sukma Johor 2020.

Katanya, penyelarasan tugasan tersebut dibuat Perbadanan Stadium Johor melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan infrastruktur dan kemudahan terbabit dijaga dengan baik.

November lalu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican mengumumkan Sukma dan Para Sukma 2020 yang dijadualkan berlangsung di Johor pada tahun ini terpaksa dibatalkan.

Katanya, pembatalan tersebut dibuat selepas kerajaan Johor memohon supaya Sukma dan Para Sukma dibatalkan atas pelbagai sebab dan ditawarkan semula menjadi tuan rumah kedua-dua kejohanan itu buat kali ke-20 pada 2022.

ONN Hafiz Ghazi (tengah) menyampaikan cenderamata kepada bekas Pengarah MSNJ, Mohd. Gadaffie Abd. Aziz pada sesi dialog Johor Sports Masterplan 2030, di Johor Bahru, Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya