Bersatu terima jika Pas mahu gerak solo

Bersatu terima jika Pas mahu gerak solo

AHMAD FAIZAL AZUMU
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) percaya akan banyak parti lain akan bersama dengan parti itu meskipun tanpa Pas yang dikatakan mahu bergerak secara solo semasa pilihan raya kelak.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, terpulang kepada Pas untuk menentukan hala tuju mereka jika tindakan tersebut dilihat boleh menguntungkan perpaduan Melayu.

Katanya, Bersatu tiada hak untuk menyekat pendirian Pas walaupun orang ramai mempercayai Perikatan Nasional (PN) menjadi harapan orang Melayu ketika ini.

“Kalau itu pendirian Pas, kalau itu yang mereka fikir boleh untungkan perjuangan dan perpaduan orang Melayu dan sebagainya, apa daya kami lagi? kita pun tidak boleh cakap apa sekalipun. Tetapi saya percaya ramai lagi akan bersama dengan kami,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Semalam, Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari berpandangan sudah tiba masa untuk parti itu bergerak secara berasingan dengan Bersatu bagi mendepani siri pilihan raya akan datang.

Bagaimanapun katanya, ke­dua-dua parti masih boleh kekal berkawan cuma bukan di pentas pilihan raya.

Mengulas lanjut, Ahmad Faizal berkata, mana-mana parti yang berhasrat untuk mentadbir negara tidak boleh bergerak solo sebaliknya perlu melibatkan bukan sahaja parti politik tetapi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memiliki hala tuju perjuangan yang sama.

“PN sudah diterima ramai orang Melayu malah menjadi harapan orang Melayu sehingga mampu memperoleh jumlah kerusi banyak pada Pilihan Raya Umum Ke-15 tetapi kalau itulah keputusan yang dibuat Pas, Bersatu terima,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN