Tiga tahun Agong bawa kestabilan, prihatin kebajikan rakyat

Tiga tahun Agong bawa kestabilan, prihatin terhadap kebajikan rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANGGAL 1 Jun mencatatkan lembaran sejarah amat bermakna bagi seluruh rakyat Malaysia apabila negara menyambut Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.

Memasuki tahun ketiga pemerintahan baginda di Istana Negara, kepimpinan Sultan Ibrahim membawa kestabilan, ketegasan dan paling utama, keprihatinan tidak berbelah bahagi terhadap kebajikan rakyat jelata tanpa mengira latar belakang kaum dan keturunan.

Sejak melafazkan sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Januari 2024, baginda meletakkan tanda aras yang tinggi dalam aspek tadbir urus negara.

SEPANJANG kira-kira tiga tahun ini, fokus pentadbiran baginda adalah memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara berada pada tahap terbaik.

Pendekatan baginda yang telus dan berani dalam menyuarakan pandangan mengenai hala tuju negara juga telah memberikan nafas baharu kepada landskap pentadbiran Persekutuan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sepanjang kira-kira tiga tahun ini, fokus pentadbiran baginda adalah memastikan kestabilan politik dan ekonomi negara berada pada tahap terbaik.

Sultan Ibrahim secara konsisten mengingatkan barisan kepimpinan kerajaan agar mengetepikan agenda politik sempit, sebaliknya menumpukan sepenuh usaha untuk memulihkan ekonomi demi keselesaan rakyat.

Malah, baginda terkenal sebagai seorang raja yang tegas terhadap isu-isu membabitkan integriti dan salah guna kuasa.

Pendirian baginda yang tidak berkompromi dengan amalan rasuah membuktikan komitmen tinggi Seri Paduka Baginda dalam memastikan jentera pentadbiran negara kekal bersih dan efisien.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi sebelum ini pernah menggambarkan keperibadian Sultan Ibrahim sebagai seorang raja berjiwa rakyat, penyayang dan suka memberi nasihat. Sikap itu membuatkan baginda disayangi rakyat Johor selama ini.

“Baginda sentiasa meletakkan kepentingan rakyat di depan. Baginda seorang yang sangat teliti dengan perkara yang dipersembahkan kepada baginda khususnya ketika berpeluang menghadap baginda.

“Banyak perkara membabitkan rakyat yang dititikberatkan baginda antaranya termasuk projek tebatan banjir, isu jalan berlubang, kesesakan Tambak Johor dan kemudahan infrastruktur lain di negeri ini,” katanya.

Tambah Onn Hafiz, rakyat Malaysia bertuah apabila Sultan Ibrahim diangkat menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-17 kerana bukan sahaja baginda tetapi Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah serta keluarga Diraja Johor sangat menjiwai rakyat.

Sesuai dengan ungkapan ‘raja berjiwa rakyat’, di sebalik ketegasan ditonjol, antara sisi peribadi baginda yang paling terserlah adalah apabila menyentuh soal kebajikan rakyat. Baginda tidak hanya menyantuni rakyat negeri Johor, tetapi rakyat Malaysia yang dipayunginya.

Sifat itu direalisasikan menerusi penubuhan Yayasan Sultan Ibrahim Johor (YSIJ) yang bertujuan meningkatkan taraf hidup dan kesejahteraan rakyat. Antara usaha dibuat termasuklah menyalurkan bantuan berupa pek makanan, kit bantuan bencana, kemudahan pendidikan dan juga bantuan pendidikan.

YSIJ telah ditubuhkan pada 2016 dan aktif dengan pelbagai kerja-kerja amal, terkini sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, YSIJ telah mengagihkan lebih daripada 1,000 bakul makanan kepada golongan memerlukan termasuklah golongan orang kurang upaya (OKU).

Keprihatinan tersebut tidak hanya terhad kepada YSIJ, tetapi pelbagai manfaat lain itu turut disalurkan kepada masyarakat menerusi Yayasan Raja Zarith Sofiah Negeri Johor; Yayasan Sultanah Fatimah; Yayasan Sultanah Rogayah dan Yayasan Kanser Tunku Laksamana Johor.

Sementara itu, pensyarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mohd. Azhar Abdul Hamid berkata, pemerintahan Sultan Ibrahim memperlihatkan peranan institusi diraja sebagai lambang kestabilan negara, perpaduan rakyat dan pengukuhan hubungan antarabangsa.

“Walaupun tertakluk kepada Perlembagaan Persekutuan, kewibawaan dan pengalaman baginda memperkukuh keyakinan rakyat serta dunia terhadap Malaysia, sekali gus mengekalkan kerelevanan institusi Raja Berperlembagaan sebagai payung negara dalam mendepani cabaran abad ke-21.

“Baginda turut memperkukuh hubungan Malaysia dengan negara luar melalui komunikasi dan lawatan rasmi termasuklah ke China, Russia, Arab Saudi dan Bahrain,” katanya yang juga Ketua Penyelidik, Kumpulan Penyelidikan Kenegaraan dan Kesejahteraan Sosial universiti awam berkenaan.

Keprihatinan baginda turut dirasai rakyat pelbagai lapisan, termasuklah Erahmah Hakim, 43, yang mengenali baginda secara peribadi sejak 2008 melalui pekerjaannya sebagai penasihat jualan Proton.

Katanya, Sultan Ibrahim mahu rakyat negara ini berbangga memiliki dan memandu kenderaan nasional tersebut dan telah membeli lebih daripada 200 unit kenderaan jenama itu daripadanya sehingga kini.

“Tujuan pembelian itu termasuklah untuk kegunaan kakitangan dan syarikat baginda selain untuk dikurniakan kepada pegawai kerajaan terpilih yang banyak berjasa kepada kerajaan negeri.

Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu lagi, keperibadian baginda yang mengambil berat terhadap nasib rakyat khususnya golongan memerlukan jelas apabila baginda tidak kekok mendekati rakyat khususnya melalui penganjuran program Kembara Mahkota Johor. – UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN