KUALA LUMPUR: Program Baucar Buku Guru Madani 2025 yang memanfaatkan 428,027 guru dan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan di seluruh negara berupaya untuk terus memperkukuh budaya membaca dan pembangunan profesional pendidik.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, Adibah Omar berkata, penyertaan Program Baucar Buku Guru Madani 2025 sangat memberangsangkan di seluruh negara selain mendapat tahap kepuasan yang tinggi dan sumbangan signifikan terhadap pembangunan ilmu dalam kalangan guru.
“Seramai 428,027 guru telah menebus baucar berjumlah RM42.8 juta dengan kadar penebusan 100 peratus dan kadar pembelian buku sebanyak 99.74 peratus.
“Inisiatif ini bertujuan memperluas akses kepada bahan bacaan berkualiti, meningkatkan pengetahuan profesional serta menyokong pembentukan masyarakat Madani yang progresif dan berteraskan ilmu.
“Sebanyak 87.5 peratus responden bersetuju inisiatif itu meningkatkan minat mereka untuk membaca manakala 70.6 peratus menyatakan peningkatan aktiviti pembacaan sebagai sebab utama program itu wajar diteruskan,” katanya ketika pembentangan Kajian Impak Program Pemberian Baucar Buku Guru Madani 2025 di Pesta Buku Antarabangsa (PBAKL) 2026 di sini semalam.
Beliau berkata, sebanyak 63.2 peratus daripada mereka menggunakan baucar untuk meningkatkan pengetahuan profesional termasuk 49 peratus yang membeli bahan berkaitan pembangunan kerjaya.
“Kajian bersama IDE Research Centre (IDERC) yang melibatkan 1,794 responden mendapati program ini diterima baik, dengan 92 peratus menyokong kesinambungannya dan 82.2 peratus berpuas hati dengan pelaksanaannya.
“Sebanyak 67.1 peratus responden membeli lebih daripada tiga buku manakala 56.7 peratus menambah perbelanjaan sendiri bagi memaksimumkan nilai baucar,” katanya.
Sementara itu, Adibah Omar berkata, laporan itu turut mencadangkan agar nilai baucar itu ditingkatkan kepada antara RM150 hingga RM200 berbanding RM100 ketika ini.-UTUSAN.










