'Jangan bimbang, kami selamat' - Utusan Malaysia

‘Jangan bimbang, kami selamat’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Barisan pemain badminton negara dalam keadaan selamat meskipun Thailand ketika ini dilanda jerebu toksik, selain perintah berkurung akibat peningkatan kes Covid-19.

Kelmarin, skuad badminton Malaysia tiba di Bangkok untuk menyertai kejohanan antarabangsa pertama mereka sejak Covid-19 melanda dunia iaitu Terbuka Thailand yang bermula 12 hingga 17 Januari.

Ketibaan mereka disambut beberapa siri ujian Covid-19, namun yang paling membimbangkan adalah cuaca buruk di Bangkok.

KEADAAN dalam bas yang membawa pasukan badminton Malaysia di Bangkok. – IHSAN BAM

Bagaimanapun beregu lelaki negara, Nur Izzuddin Rumsani memberitahu, jerebu toksik hanya melanda pinggir bandar Bangkok dan tidak melibatkan mereka yang berada di kawasan bandar.

Katanya, semua pemain yang tiba di bandar raya itu kelmarin sedang menjalani proses kuarantin wajib tujuh hari sebaik selepas melakukan ujian calitan.

“Setakat ini memang tiada jerebu di sini. Semua berada dalam keadaan selamat.

“Sekarang kami semua dikuarantin di hotel sama dan menunggu keputusan ujian sebelum boleh menjalani latihan serta melakukan persiapan untuk pertandingan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.

Jabatan Kawalan Pencemaran Thailand kelmarin melaporkan kualiti udara di 17 kawasan sekitar Bangkok mencecah tahap tidak selamat.

Menurut laporan dikeluarkan agensi itu, bacaan menunjukkan terdapat zarah terampai 2.5 bahagian dalam sejuta (ppm) pada 34 hingga 60 mikrogram dalam setiap meter padu (g/m3) udara.

Piawaian Thailand bagi tahap selamat 2.5 ppm (membabitkan zarah dengan diameter kurang daripada 2.5 mikrometer) ialah 50 g/m3.

PEMAIN negara melakukan ujian calitan di Bangkok. – IHSAN BAM

Selain itu, mereka juga akan menjalani lima hingga tujuh ujian calitan Covid-19 secara berkala sepanjang menyertai Terbuka Thailand bagi memastikan keselamatan semua pemain.

Sebahagian pemain kebangsaan dan profesional yang berangkat ke Thailand turut mencuri perhatian apabila mengenakan pakaian pelindungan diri (PPE) semasa berada di lapangan terbang.

“Pakaian itu tidak diwajibkan tapi sesiapa yang rasa nak pakai dibenarkan sebagai langkah keselamatan,” kata Nur Izzuddin.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya