CIMB, AirAsia tarik diri taja Liga M - Utusan Malaysia

CIMB, AirAsia tarik diri taja Liga M

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) mengesahkan CIMB dan AirAsia menarik diri daripada menjadi penaja utama mereka musim depan.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, pihaknya menghormati hasrat penaja-penaja berkenaan untuk tidak dapat meneruskan komitmen bersama dalam Liga Malaysia bagi musim 2021 dan percaya MFL kekal positif dengan perancangan yang disusun sebelum ini.

“AirAsia telah menyatakan hasrat mereka untuk tidak melanjutkan penajaan bersama MFL bagi saingan Liga Malaysia musim 2021.

“MFL juga telah mengadakan pertemuan dengan CIMB pada tiga hari lalu dan menyatakan hajat yang sama di mana pihak kami kini menunggu surat secara rasmi daripada mereka yang tidak mahu melanjutkan penajaan bagi musim depan.

“Saya mewakili pihak MFL mahu mengambil kesempatan untuk melahirkan penghargaan kepada setiap penaja ini di atas sumbangan mereka kepada bola sepak negara ketika kita semua berdepan detik sukar dalam pandemik Covid-19 sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan rasmi, hari ini.

Bagaimanapun, Ab Ghani mengumumkan Telekom Malaysia (TM) terus kekal komited untuk menjadi penaja utama Liga Malaysia pada musim depan melalui perjumpaan beliau dan Presiden MFL, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin dengan wakil pengurusan tertinggi TM pada 21 September lalu.

Tambah beliau F&N 100Plus juga meneruskan komitmen sebagai penaja Liga Malaysia berbentuk barangan biarpun tidak meneruskan tajaan secara tunai seperti musim lalu.

Sementara itu, Ab Ghani memberitahu status Shopee selaku penaja masih berada di dalam peringkat rundingan berdasarkan kehadiran penonton di stadium pada musim 2021.

“TM masih bersama dengan MFL dan buat masa ini kami sedang mengadakan perbincangan berkenaan ‘post mortem’ Liga Malaysia musim 2020 dan persiapan Liga Malaysia bagi musim 2021.

“Saya berharap semua pihak khususnya penyokong-penyokong tidak panik di sebalik ketiadaan penaja-penaja ini di mana MFL tetap akan meneruskan Liga Malaysia seperti biasa di mana MFL kini juga sedang mengadakan perbincangan dengan beberapa pihak yang menyatakan minat untuk menjadi penaja baharu.

“Dalam masa yang sama, MFL turut mengalu-alukan kedatangan penaja-penaja baharu dan pintu MFL sentiasa terbuka kepada mereka yang berminat bagi perancangan Liga Malaysia musim 2021 dan tahun-tahun akan datang.

“Saya mewakili MFL juga sentiasa mendoakan kepada setiap rakan kongsi dan kelab yang bermain dalam Liga Malaysia musim 2021 akan cekal teruskan perjuangan walaupun terpaksa mengharungi cabaran yang getir demi memajukan liga tempatan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya