fbpx

30 November 2020, 3:22 am

  TERKINI

Khairul Idham tangga ke-22 di Jerez

KHAIRUL Idham Pawi (No. 89) menduduki tangga ke-22 pada Grand Prix Sepanyol di Jerez, hari ini. - Gambar Petronas SRT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Pelumba Moto3 negara, Khairul Idham Pawi menamatkan Grand Prix (GP) Motosikal Sepanyol di tangga ke-22, dan menyifatkan situasi perlumbaan pusingan kedua di Litar Jerez hari ini hampir sama seperti aksi pembukaan musim di Qatar, Mac lalu.

Penunggang pasukan Petronas Sprinta Racing itu melengkapkan 22 pusingan dengan  masa 39 minit 55.100 saat – 28.844s di belakang juara, Albert Arenas dari pasukan Gaviota Aspar Team Moto3,

Khairul Idham yang terkenal dengan julukan SuperKIP berkata, dia bergelut dengan bahagian depan jentera ketika berada di selekoh laju, sekali gus  menyukarkan dirinya untuk mendapatkan keserasian.

“Hari perlumbaan lebih sukar berbanding semalam (kelayakan).

“Agak sukar untuk mendapatkan kembali rentak . Saya juga belum mendapat keserasian di bahagian depan ketika berada selekoh laju berbanding pelumba yang lebih laju di situ.

“Saya berada dalam kelompok hampir sama seperti di Qatar dan ia tidak bagus. Saya mahu menjadi lebih baik dan akan menantikan aksi seterusnya,” kata Khairul Idham.

Litar Jerez sekali lagi dijadual menjadi lokasi untuk pusingan seterusnya dari 24 hingga 26 Julai ini selepas kalendar baharu 2020 tertangguh susulan pandemik Covid-19 yang merencatkan saingan musim ini.

“Mungkin pada minggu depan, kami perlu melakukan perubahan besar di bahagian depan. Saya harap ia akan menjadi lebih baik nanti,” kata Khairul Idham yang pernah mencipta dua kemenangan dalam kelas berkenaan di GP Argentina dan Jerman pada 2016.

BERITA BERKAITAN