Tabiat memilih makanan dalam kalangan kucing sering dianggap perkara biasa oleh pemilik haiwan peliharaan.
Ada kucing yang hanya mahu makan jenis atau jenama makanan tertentu, manakala ada pula yang tiba-tiba menolak makanan yang sebelum ini menjadi kegemaran mereka.
Tidak kurang juga kucing yang enggan makan sama sekali apabila diperkenalkan dengan makanan baharu.
Doktor Perubatan Veterinar dan Pengurus Vetico Animal Clinic, Dr. Wafaa Abdul Washeff berkata, sikap cerewet terhadap makanan sebenarnya berkait rapat dengan naluri semula jadi, tahap kesihatan dan pengalaman hidup kucing itu sendiri.
Berbeza dengan anjing yang lebih terbuka terhadap pelbagai jenis makanan, kucing secara semula jadinya lebih berhati-hati ketika memilih makanan.
“Sebagai haiwan karnivor, taste bud kucing hanya mempunyai sekitar 470 deria rasa berbanding anjing sekitar 1,700 dan manusia sekitar 9,000, sekali gus menyebabkannya lebih peka terhadap bau, tekstur serta perubahan kecil pada makanan,” katanya.
Sifat berhati-hati tersebut membantu kucing mengelakkan makanan yang rosak atau berpotensi membahayakan kesihatan mereka.
Pengaruh umur
Menurut Dr. Wafaa, faktor umur memainkan peranan besar dalam menentukan selera makan kucing.
Anak kucing yang baru belajar makan makanan pepejal biasanya lebih terbuka untuk mencuba pelbagai jenis makanan kerana masih berada dalam fasa meneroka.
Namun, apabila meningkat dewasa, si manja itu menjadi lebih cekap dan memilih makanan yang dianggap selamat dan sesuai.
Kucing berusia pula sering mengalami perubahan deria bau dan rasa, selain masalah gigi, yang menyebabkannya lebih menggemari makanan basah bertekstur lembut dan beraroma lebih kuat.
Dalam masa sama, masalah kesihatan yang datang bersama proses penuaan turut mempengaruhi selera makan.
Masalah kesihatan
Perubahan selera makan juga boleh menjadi petanda awal masalah kesihatan.
Kucing yang selesema mungkin kurang makan kerana hidung tersumbat menyebabkannya sukar menghidu makanan.
Masalah buah pinggang pula boleh menyebabkan pengumpulan toksin dalam badan sehingga kucing berasa loya dan tidak berminat untuk makan.
Selain itu, masalah oral seperti ulser mulut, gusi bengkak atau kerosakan gigi boleh menyebabkan kucing berasa sakit ketika mengunyah, lalu memilih untuk tidak makan.
Disebabkan kucing terkenal sebagai haiwan yang pandai menyembunyikan kesakitan, pemilik dinasihatkan supaya lebih peka terhadap perubahan selera makan haiwan peliharaan mereka.
Trauma, tekanan
Katanya, bukan semua kucing memilih makanan kerana rasa atau tekstur semata-mata.
Ada juga kucing yang menolak makanan tertentu kerana mengaitkannya dengan pengalaman negatif seperti rawatan di klinik veterinar.
Kucing yang pernah dimasukkan ke wad, menerima suntikan, menjalani pembedahan atau dipaksa makan ubat mungkin akan mengalami trauma terhadap makanan yang diberikan ketika rawatan.
Selain itu, tekanan persekitaran juga boleh menyebabkan kucing hilang selera makan.
Antaranya, bunyi bising akibat kerja pengubahsuaian rumah, bunyi mercun ketika perayaan, kehadiran haiwan baru atau perubahan rutin harian boleh menyebabkan kucing berasa tidak selesa dan memilih untuk berdiam diri atau menyembunyikan diri.
Bau, tekstur
Bagi kucing, bau makanan merupakan perkara pertama yang dinilai sebelum membuat keputusan untuk makan.
Disebabkan itu, perubahan kecil pada aroma makanan walaupun pemilik membeli jenama sama boleh menyebabkan kucing menolak makanan tersebut.
Menurutnya, makanan haiwan yang melalui proses penghantaran dan penyimpanan yang panjang mungkin mengalami perubahan aroma akibat terdedah kepada haba, cahaya matahari atau kebocoran kecil pada bungkusan.
Kucing juga lazimnya lebih menggemari makanan basah yang lembut dan sedikit suam kerana menyerupai tekstur serta suhu daging mangsa buruan.
Namun, kajian menunjukkan pada akhirnya, kucing tetap akan mencari makanan yang mempunyai kandungan protein dan asid amino tinggi bagi memenuhi keperluan fisiologi mereka sebagai haiwan obligate carnivore.
Jangan kerap tukar makanan
Pemilik juga diingatkan supaya tidak terlalu cepat mengalah apabila kucing enggan makan.
Terlalu kerap menukar makanan boleh menyebabkan kucing menjadi semakin cerewet kerana mula mempelajari makanan lain akan diberikan jika enggan makan.
Sebaliknya, makanan baru perlu diperkenalkan secara perlahan-lahan terutama kepada kucing yang lebih sensitif terhadap perubahan.
Pendedahan kepada pelbagai rasa, tekstur dan aroma sejak kecil juga membantu kucing menjadi lebih terbuka untuk menerima makanan baru apabila dewasa.
Jangan tunggu sehingga lemah
Menurutnya, pemilik perlu segera membawa kucing ke klinik veterinar jika haiwan itu langsung tidak mahu makan selama dua hingga tiga hari.
Keadaan itu boleh menjadi sangat berbahaya kerana hati kucing tidak mempunyai simpanan lemak yang banyak seperti manusia dan anjing untuk menampung keperluan tenaga apabila tidak makan.
Apabila berlaku kebuluran, kesihatan kucing boleh merosot dengan cepat dan berisiko membawa maut.
Dalam masa sama, pemilik juga perlu memastikan pemakanan harian kucing seimbang dengan mengutamakan makanan lengkap bernutrisi, manakala pemberian snek hanya sekitar 10 peratus daripada jumlah makanan harian.










