DILEMA seorang isteri sering kali melibatkan pertentangan antara pelbagai tanggungjawab dan harapan dalam kehidupan perkahwinan.
Ini termasuklah membahagikan masa antara kerja dan keluarga, menjaga hubungan dengan keluarga mentua dan mengimbangi tanggungjawab rumah tangga dan kehidupan sosial.
Minggu ini saya kongsikan kisah, Raihana (bukan nama sebenar) yang pernah terperangkap antara cinta dan tanggungjawab kepada suami dan adik kandung.
Pada pertemuan dengan saya baru-baru ini wanita berusia pertengahan 30an itu berkata, dia merupakan anak sulung daripada dua adik-beradik.
Sejak kedua ibu bapa meninggal, dia mengambil alih peranan sebagai pelindung dan penjaga utama kepada adiknya Jue (bukan nama sebenar) ketika itu berusia 16 tahun yang sedang menuntut di sekolah menengah.
Pada masa yang sama, dia berkahwin dengan Zainal (bukan nama sebenar) selama dua tahun.
Namun segalanya berubah selepas beberapa bulan Jue melanjutkan pengajian di universiti. Jue yang dahulunya ceria dan penuh semangat mulai berubah.
Dia sering murung dan tidak lagi banyak meluangkan masa sendirian. Masanya lebih banyak mengurungkan diri di bilik setiap kali pulang bercuti.
“Pada awalnya saya fikir itu hanyalah fasa biasa bagi seorang penuntut. Namun hari semakin hari tingkah lakunya kian pelik,” cerita Raihana.
Adiknya menunjukkan tanda kemurungan lebih serius, tidak mahu makan, susah tidur dan lebih suka meluahkan perasaan putus asa dan kebimbangan.
Raihana cuba mengajak Jue meluahkan perasaan apa yang terpendam dan cuba menghiburkannya namun sia-sia.
Raihana akhirnya memutuskan untuk mencari bantuan pakar. Proses itu bukan mudah. Jue pada awalnya menolak terapi.
Dia berasa malu dan takut dengan penilaian orang. Namun dengan sokongan dan pujukan, Jue akhirnya setuju untuk menjalani rawatan psikologi.
Berbulan-bulan Raihana belajar lebih banyak tentang penyakit mental, kemurungan dan cara untuk membantu adiknya itu.
“Saya sedar ini bukanlah sesuatu yang boleh diselesaikan dengan masa sehari dua.
“Saya berjanji kepada diri sendiri untuk menjaga adik dengan sebaik mungkin dan sentiasa ada untuknya,” ujar Raihana.
Dalam melalui ujian itu, Raihana mengakui turut menghadapi cabaran peribadi, rumahtangganya hampir goyah disebabkan dia terlalu memberi tumpuan kepada adiknya itu.
Pada mulanya, suami memahami tanggungjawabnya terhadap Jue. Namun seiring berjalannya waktu, perhatian dan masa yang diberikan
Raihana terhadap adik kandungnya itu makin mengganggu keharmonian rumah tangga mereka.
Setiap kali Jue ada masalah, Raihana segera membantu, tanpa mengira siang malam. Itu belum lagi temujanji rawatan susulan, Raihana akan sentiasa menemani.
Dia juga sering membatalkan rancangan bersama suami demi memastikan adiknya selesa dan menerima rawatan diperlukan.
Di pihak Zainal mula berasa tidak puas hati. Dia merasakan perkahwinan mereka mula renggang dan berasakan Raihana lebih mementingkan adik daripada keluarga mereka sendiri. “Kami sering bergaduh mengenai hal itu.
Ada ketika saya sangat-sangat berasa putus asa dan marah pada situasi itu,” ujar Raihana.
Sejujurnya kata Raihana dia sendiri tertekan. Dia sayangkan perkahwinan itu, tetapi pada masa sama Jue memerlukannya.
“Saya sering berasa serba salah kerana tidak mampu memberi sepenuh perhatian kepada kedua-dua orang saya cinta,” katanya.
Raihana akhirnya mengambil keputusan duduk bersama suaminya untuk berbincang dari hati ke hati.
Kata Raihana dia cuba menjelaskan kepada suami betapa pentingnya Jue dalam hidupnya dan mengapa dia berasa bertanggungjawab terhadap adiknya itu.
Ketika itu juga dia menyatakan betapa menghargai suami dan keinginannya untuk memenuhi peranan tersebut, walaupun terasa berat.
“Alhamdulilah, sejak mendengar penjelasan tersebut, suami mulai menyedari betapa besar bebanan ditanggung saya.
“Dia sedar saya memerlukan lebih daripada sekadar pengertian, sebaliknya, memerlukan sokongan termasuk membantu saya mengimbangi tanggungjawab tanpa merasakan saya harus memilih suami dan adik,” katanya.
Akhirnya mereka membantu Jue. Raihanah berkata, suaminya kini lebih memahami dan menyokongnya dalam situasi apapun.
Dengan komunikasi lebih terbuka, dia dan suami mula membina kembali hubungan mereka tanpa mengabaikan Jue.
Mereka mula mencari sokongan dan menyertai kumpulan bagi keluarga yang menghadapi situasi sama. Di situ dia menemukan ramai lagi orang yang berjuang seperti dirinya.
Selepas menjalani terapi berterusan, sokongan keluarga, adiknya semakin sembuh. Raihana mulai nampak kegembiraan pada wajah adiknya itu.
Kisah Raihana boleh dijadikan pengajaran bahawa sokongan keluarga dapat memberi cahaya di tengah kegelapan yang disebabkan penyakit mental.
Raihana tidak hanya membantu adiknya sembuh, tetapi menemukan kekuatan baru dalam dirinya.
Ia juga menggambarkan pentingnya pengertian dan kesabaran dalam menghadapi ujian kesihatan mental dalam keluarga.
Bagi mereka yang menghadapi situasi serupa kata Raihana, penting untuk mencari bantuan dan tidak menghadapinya sendirian.
“Komunikasi penting bagi wanita yang sudah berkahwin terutama ketika berhadapan dengan tanggungjawab keluarga yang berat.
“Meskipun cabaran boleh menguji hubungan, dengan pemahaman dan kerjasama, Insya Allah setiap pasangan boleh mengatasi apa sahaja yang datang dalam perjalanan rumahtangga,’’ ujarnya.
Kisah Raihana ini boleh dijadikan pengajaran bahawa kita sendiri perlu memahami erti dan tujuan perkahwinan itu sendiri.
Sebagaimana Firman Allah SWT bermaksud: Dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (Hawa) dan daripada kedua-duanya Allah mengembangbiakkan lelaki dan perempuan yang ramai. (Al-Nisa:5).










