Sembilan tahun bukan masa yang singkat. Kalau dibaratkan kanak-kanak, seusia itu si cilik sudah masuk sekolah. Realiti itu ditelan Anita Abu Bakar. Sembilan tahun bergelut dengan penyakit mental, memberikan inspirasi buat dirinya membela mereka yang senasib dengannya dengan mengasaskan Persatuan Sokongan dan Kesedaran Penyakit Mental (MIASA).
Presiden MIASA ini mengalami sejenis penyakit mental dikenali sebagai gangguan panik, sangat memahami apa yang dilalui mereka yang mengalami penyakit ini dan tidak mahu mereka melalui kesusahan dan kepayahan seperti apa yang dilaluinya ketika itu.
Ketika itu, Anita mengakui berada dalam keadaan sangat mencabar, keliru dan tidak tahu apa yang dilaluinya pada masa itu sehingga tidak nampak jalan keluar. Namun berkat sokongan suami dan ibunya, beliau berjaya menempuhi dugaan itu dan dua tahun selepas diserang penyakit itu, beliau berjaya menjalani proses penyembuhan dengan berkesan.
“Tahap kesedaran mengenai penyakit mental sememangnya sangat rendah dalam kalangan masyarakat. Stigma juga masih tinggi. Maka tercetus idea saya untuk menubuhkan MIASA dan saya kongsi idea itu dengan guru saya, Timbalan Kedua MIASA, Ustaz Mohd. Noor Deros. Pakar psikatri, Dr. Hazli Zakaria turut serta bersama kami merealisasikan kenyataan.
“Saya hendak mengenalkan pendekatan holistik, perubatan, rohani dan sokongan rakan pejuang (pesakit mental),” katanya kepada Seri.
MIASA ditubuhkan pada 2017 secara rasmi oleh individu yang berjuang dengan penyakit mental dan digerakkan oleh individu yang berpenyakit mental. Badan bukan kerajaan (NGO) ini unik kerana program dan aktiviti dijalankan digerakkan oleh pejuang sendiri.
Zon selamat untuk pejuang sakit mental
MIASA adalah kawasan zon selamat untuk pesakit yang datang mendapatkan bantuan. Kata Anita, di situ pesakit tidak dilabel dan dihukum sebaliknya mereka boleh berkongsi, tanpa perlu malu atau takut.
“Di sini, pejuang boleh mendapatkan pertolongan dan bantuan diperlukan. MIASA akan membuatkan orang lain rasa dibantu dan mereka tidak perlu sengsara bersendirian dan berada dalam keadaan sukar.
“Saya nak kongsi dengan orang lain berdasarkan pengalaman saya sendiri berjuang dengan penyakit ini. Kalau kurang ilmu, sukar hendak memahami apa cabaran mereka hadapi dalam bertarung dengan penyakit mental. Luaran seperti normal tetapi pesakit mental bukan macam sakit fizikal yang kita boleh nampak dengan mata kasa,” katanya.
Bermula dengan hanya 10 hingga 15 orang sukarelawan, hari ini MIASA sudah bergerak luas di seluruh negara dengan lebih 1,200 sukarelawan. Pasukan krisis ditempatkan di cawangan di seluruh negara untuk membantu pesakit menerusi sistem panggilan 24 jam, menjawab mesej menerusi aplikasi Whatsapp dan berjumpa sendiri dengan mereka yang dalam krisis.
Sebelum itu, katanya talian adalah terhad, sukarelawan terpaksa menggunakan telefon masing-masing dan beroperasi hanya 12 jam sehari.
“Pada kemuncak pandemik iaitu sekitar Ogos, kami menerima sehingga lebih 100,000 panggilan. Rata-rata yang memanggil meluahan rasa resah gelisah, takut, panik dengan pandemik yang tidak pasti bila akan berakhir,” katanya.
Perkara itu sebenarnya bukanlah sesuatu yang baharu tetapi masyarakat tidak bersedia, sistem kesihatan terbeban, begitu juga dengan sistem kesihatan mental.
Malah terlalu ramai yang memerlukan bantuan kewangan, makanan, sewa rumah dan tidak mampu mendapatkan bantuan lain.
“Hospital pula terpaksa memberi keutamaan kepada pesakit Covid sehingga ada pejuang yang terputus ubat dan tiak dapat bertemu pakar. Lebih menyedihkan badan bukan kerajaan (NGO) kesihatan mental tidak dianggap sebagai essential service.
“MIASA terpaksa menutup operasi dan terkapai-kapai kerana tidak tahu macam mana hendak bantu orang. Masa itu baru belajar guna teknologi zoom, belajar buat semua benda atas talian. Kita mengambil iktibar supaya lebih bersedia berdepan dengan pandemik,” katanya yang membuka semula operasi MIASA pada Jun 2021.
Selamatkan gelandangan
Anita turut menghulurkan bantuan kepada gelandangan di Chow Kit menerusi Program Santai Sihat yang dijalankan setiap bulan.
Katanya ramai gelandangan mengalami masalah mental kronik seperti psikosis dan skizofrenia. Akibat stigma mereka dianggap merbahaya dan sukar untuk mendapat kerja. Malah keluarga juga tidak dapat menerima mereka.
“Sebenarnya mereka ini 10 kali lebih tinggi untuk didiskriminasi,” katanya yang dengan kerjasama Kementerian Wilayah Persekutuan menyelamatkan lebih 1,000 gelandangan dengan menempatkan mereka di tujuh pusat transit, saringan kesihatan dan menawarkan mereka peluang pekerjaan.
Anita mengimpikan masyarakat menerima pesakit mental dan memberi peluang kepada mereka menjalani hidup normal.
“Stigma ini racun yang menjadi diskriminasi ke atas pesakit mental. Berilah mereka peluang sebagaimana orang ramai beri peluang dan ruang kepada pesakit lain. Mereka boleh sembuh dengan sokongan keluarga dan masyarakat.
“Tanpa sokongan, sukar untuk mereka meneruskan hidup. Lama-lama mereka putus asa,” katanya.
Orang ramai boleh memainkan peranan dengan bersikap peka terhadap pesakit mental. Cukup hanya dengan mendengar luahan, menjadi bahu untuk mereka menangis dan memeluk mereka untuk tenangkan perasaan.
Era endemik, lebih ramai terdedah kepada penyakit mental terutama dalam kalangan remaja yang kehilangan orang tersayang akibat Covid-19 manakala kadar penyakit mental dalam golongan dewasa pula dianggarkan meningkat sehingga 25% selepas pandemik.
Anita kini sedang rancak merancang untuk membuka beberapa cawangan krisis lain di Johor, Terengganu, Kedah, Sabah atau Sarawak selain membuka pusat drop in di pusat komuniti yang terbiar dan sunyi.
Sementara itu, semua perkhidmatan diberikan MIASA adalah percuma untuk golongan B40 bagi membolehkan pesakit mendapatkan rawatan segera tanpa perlu menunggu sehingga penyakit melarat.
Beliau turut merancang membina aplikasi MIASA untuk menyantuni golongan OKU.
Ia bakal memiliki ciri seperti butang panik untuk membantu pesakit bertenang. Ia juga bakal diintegrasikan dengan talian krisis.
“Pesakit boleh terus berbual dengan anggota pasukan dan ia berfungsi 24 jam setiap hari,” katanya.
Konsisten memerangi stigma penyakit mental, menyebabkan dirinya menarik perhatian Universiti Geneva untuk menjadi salah seorang panel Forum Kesihatan Mental Antarabangsa di Geneva, Mei lalu.
Malah beliau turut menjadi rakyat Malaysia pertama yang menerima Anugerah The Patient Champion For Science and Medicine pada majlis Anugerah Metrodora 2022 Mac lalu yang dianjurkan International Alliance of Patient Organizations (IAPO) .
Suami dan anak beri sokongan penuh
Suami, Wan Ahmad Nazim, menjadi penguat semangat untuk Anita berjuang membela nasib pesakit mental. Malah dua anaknya, Wan Dahia Qaireen,13 dan Wan Fareeq Qaiser,12, turut menunjukkan minat yang sama malah tidak kekok turun padang bersamanya.
“Anak perempuan saya suka dengan usaha kami. Dia selalu bantu dan turun padang dari kecil. Malah ada ketika, anak-anak saya buat komik dan hasil jualan didermakan kepada MIASA. Suami juga sangat menyokong kerjaya saya dengan memberi idea untuk saya berkongsi mengenai penyakit mental.
“Awal dulu, saya takut suami malu tetapi sebaliknya dia berikan sokongan. Malah ketika saya sakit dan tidak berdaya dulu, ibu yang menjaga saya masa untuk mengemas rumah dan memasak selain membantu menjaga anak-anak,” katanya.
Pencapaian MIASA
• NGO pertama ditubuh dan digerak oleh pejuang sendiri.
• NGO pertama menubuhkan pusat pengurusan krisis, aktiviti dan model penyembuhan.
• Pesakit mental, jadi sukarelawan.
• NGO pertama tubuh talian krisis 24 jam untuk 7 hari.
• NGO pertama tubuh pasukan krisis yang boleh bergerak atau berjumpa dengan pesakit mental.
• NGO pertama buat persidangan mental antarabangsa pada 2019.
• Berjaya capai lima resolusi iaitu:
» Memerangi stigma dan diskriminasi.
» Hak dan peluang pekerjaan.
» Memberikan hak untuk mendapatkan rumah dan hak berdikari.
» Memberi hak untuk mendapatkan rawatan.
» Menutup semua institusi kesihatan mental di negara ini.
• Program sokongan pekerjaan dan membantu pesakit kekal dalam pekerjaan. Kerjasama dengan majikan dan pejuang supaya mereka dapat bekerja dengan lebih baik.










