Dekorasi kayu pine cipta efek malar segar

Dekorasi kayu pine cipta efek malar segar

PERMINTAAN tinggi produk kayu bagi dekorasi kediaman. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELIHAT terdapat permintaan terhadap material kayu pine membuatkan Mohd. Khasfullizam Md. Saad cuba mengintai peluang perniagaan secara dalam talian.

Beliau yang kini Pengasas The Kayu Pallet iaitu syarikat berasaskan dekorasi kayu, menjadi orang pertama yang mengambil inisiatif menjual material mentah berkenaan secara terbuka melalui platform dalam talian.

Kongsi Mohd. Khasfullizam, beliau yang ketika itu masih bekerja dengan sebuah syarikat lain terpaksa mengambil keputusan untuk berhenti kerja bagi memberi sepenuh perhatian kepada perniagaan yang dibangunkan.

“Selepas setahun berniaga secara separuh masa, saya nekad mengambil keputusan untuk berhenti kerja dan memulakan perniagaan secara sepenuh masa kerana saya optimis dengan produk dan perniagaan saya boleh berdaya saing.

“Pada tahun permulaan, saya hanya mempunyai seorang pekerja iaitu saya sahaja, daripada A hingga Z hanya saya sendiri buat kerja. Tahun kedua, baru tambah pekerja disebabkan tidak menang tangan dan perniagaan berkembang dengan cepat,” katanya kepada Seri.

Tambah beliau, daripada hanya menjual bahan mentah, syarikat juga semakin berkembang dengan mendapat permintaan untuk tempahan perabot custom.

Selain itu, syarikat berkenaan juga berevolusi dengan menghasilkan produk-produk berasaskan kayu pine yang dihasilkan dalam skala besar.

Semua produk yang dihasilkan melalui proses Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) serta dipasarkan melalui platform dalam talian seperti Facebook, Instagram, Shopee , Lazada, Web dan TikTok.

Jelas Mohd. Khasfullizam, syarikat yang diasaskan sejak 2015 itu juga mendapat bantuan dan bimbingan daripada agensi kerajaan, Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

“Daripada berniaga di rumah, saya berjaya mempunyai sebuah kilang dan lima cawangan kedai serta kira-kira 20 stokis berlesen.

“Bagaimanapun, disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat wabak Covid-19, perniagaan saya terkesan dan terpaksa mengecilkan operasi syarikat,” tuturnya lagi.

SENI PERKAYUAN

Sehingga kini, syarikat berkenaan menawarkan perkhidmatan menghasilkan dan menjual barang-barang berasaskan kayu seperti peralatan dapur, perabot rumah, hasil seni, barang berkaitan sukan dan hobi.

Bengkel atau kursus pertukangan kayu jangka pendek turut dianjurkan.

“Kami menawarkan servis jualan kayu mentah, sama ada baharu (diimport dari luar negara) atau kitar semula daripada pembekal tempatan. Semua kayu siap diproses cantik mengikut saiz.

“Kami juga menerima tempahan perabot custom, killer dan produk sekarang adalah banglo kucing. Kami memasarkan banglo kucing yang premium dan eksklusif dengan 80 peratus pelanggan terdiri daripada golongan kenamaan (VIP). Permintaan amat padu,” kongsinya.

Bercerita lanjut, kejayaan empayar yang dibina juga adalah hasil daripada minat yang mendalam terhadap seni perkayuan.

Selain itu, permintaan yang semakin tinggi terhadap produk kayu bagi dekorasi kediaman dan industri juga mendorong dirinya untuk terus bereksperimentasi dengan material berkenaan.

“Selain itu, hasil produk daripada kayu yang malar segar semenjak ribuan tahun dahulu menjadikan ia tetap diminati sepanjang zaman.

“Lagi pula, tidak susah untuk menjaga barangan kayu, asalkan perlu elak daripada hujan dan panas. Jika ia telah pudar, hanya perlu disapu syelek untuk kelihatan cantik kembali,” ujarnya.

Sementara itu, kata beliau, syarikat kini meneroka bidang baharu perabot berasaskan rotan moden.

“Kami mempunyai ruang pameran di Alor Setar dan Sungai Petani, Kedah selain di Telok Panglima Garang, Selangor.

“Semua perabot dibuat dan diimport dari Indonesia,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya