Maritim Malaysia peroleh kapal kedua MPMS 2028

Maritim Malaysia peroleh kapal kedua MPMS 2028

SAIFUDDIN Nasution Ismail (tengah) menyaksikan Majlis Menandatangani Kontrak Perolehan kontrak perolehan Kapal MPMS kedua bagi kegunaan Maritim Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini memeterai kontrak perolehan Kapal Misi Pelbagai Guna (MPMS) kedua bagi kegunaan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kapal berkenaan dijangka siap pada 2028 dan akan diguna pakai bagi memperkukuh keupayaan keselamatan maritim negara.

Beliau berkata, perolehan kapal MPMS kedua ini telah diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) Tahun 2025.

“Projek pembinaan itu telah dianugerahkan kepada syarikat Desan Shipyard, Turkiye dengan nilai kontrak sebanyak AS$83.75 juta (RM331.36 juta).

“MPMS adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan dalam memastikan keselamatan maritim negara sentiasa berada pada tahap tertinggi,” katanya dalam sidang akhbar selepas hadir majlis menandatangani kontrak perolehan kapal itu di sini hari ini.

Kontrak berkenaan ditandatangani Ketua Setiausaha KDN, Datuk Dr. Awang Alik Jeman bersama wakil syarikat Desan Shipyard Cenk İsmail Kaptanoglu dengan tempoh pelaksanaan projek ini adalah selama 24 bulan iaitu bermula 1 Februari 2026 hingga 31 Januari 2028.

Menurutnya, pembinaan kapal MPMS pertama milik Maritim Malaysia dijangka siap pada tahun depan dan dijangka dapat dipamerkan pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2027 (LIMA 2027). 

“MPMS yang pertama itu akan menjadi satu mercu tanda kebanggaan Maritim Malaysia kerana ia siap mengikut jadual. Kita terima dan dapat kita pamerkan semasa LIMA Langkawi akan datang,” katanya.

Mengulas aspek pengoperasian dua kapal MPMS itu, Saifuddin berkata, perkara itu akan ditentukan sendiri oleh Maritim Malaysia khususnya dalam menangani sebarang ancaman di perairan negara.

“Ia untuk jaga keselamatan dan juga kedaulatan perairan negara kita sebab ia luas. Saya selalu guna angka 590,000 kilometer persegi dan sangat luas.

“Kita berdepan dengan pencerobohan kapal asing ataupun nelayan asing. Kalau nelayan asing maka hasil laut kita akan terjejas. Kalau kapal negara asing itu ancaman terhadap keselamatan dan kedaulatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN