Setiap rumah tangga ada ujiannya. Tidak semua ujian hadir dalam bentuk kecurangan, kewangan mahupun kesihatan. Ada ujian yang datang dalam bentuk seorang pasangan yang baik tetapi terlalu sibuk untuk membahagiakan orang lain sehingga tanpa sedar hati keluarga sendiri terluka.
Demikian juga dengan kisah rumah tangga Amelia, (bukan nama sebenar) yang dikongsikan minggu ini. Suaminya, Malek, (bukan nama sebenar) seorang lelaki yang baik, ringan tulang dan suka membantu orang lain.
Namun tanpa disedari, sifat baik suaminya kepada orang lain, perlahan-lahan menjadi ujian terbesar dalam rumah tangga mereka.
Kisah Amelia dikongsikan sendiri tuan punya badan sebagai pengajaran pada pertemuan diatur baru-baru ini.
Menurut ibu kepada tiga cahaya mata ini, dia tidak berniat untuk membuka aib sesiapa, apatah lagi menjatuhkan maruah suami.
“Apa yang berlaku dalam rumah tangga kami adalah sebahagian ujian untuk saya dan suami lalui.
“Alhamdulilah suami sudah berubah. Suami sendiri mengakui kesilapannya dan belajar untuk lebih menghargai masa, perhatian serta kehadiran isteri dan anak-anak,” ujarnya.
Kata Amelia, dia memilih berkongsi cerita bukan mahu mengungkit kisah lalu, tetapi mungkin ada suami atau isteri di luar sana yang sedang melalui perkara sama.
Kadang kala, ada pasangan terlalu sibuk memenuhi keperluan orang lain, sehingga terlupa bahawa keluarga sendiri juga mempunyai hak terhadap masa dan perhatian.
Menurut Amelia, dia tidak pernah menyangka, rumah tangga mereka diuji dengan perkara seperti itu.
“Suami seorang lelaki yang baik. Bukan kaki perempuan, bukan kaki judi. Malah, suami terlalu baik di mata orang lain,” ujarnya.
Kalau orang meminta pertolongan, dialah orang yang paling susah untuk berkata tidak. Kawan perlukan bantuan, dia bantu. Jiran perlukan pertolongan, dia datang. Saudara meminta pinjaman, dia cuba usahakan.
Ada orang sakit dan perlu dihantar ke hospital, dia sanggup meninggalkan kerja untuk membantu.
Sambung Amelia begitu sukar dia menjelaskan bagaimana seorang lelaki yang dipandang tinggi di mata orang lain, boleh membuatkan hati anak isteri terluka.
Berkongsi cerita di awal perkahwinan kata Amelia, dia tidak ambil kisah dan boleh menerimanya. Dia fikir begitulah sifat dan bangga mempunyai suami yang suka membantu orang lain.
“Sekiranya dia pulang lewat kerana membantu orang, saya cuba memahami. Saya juga cuba bersabar sekiranya rancangan keluarga terpaksa dibatalkan kerana ada orang lain memerlukan pertolongannya.
“Saya selalu memujuk diri sendiri dan juga anak-anak,” ujarnya.
Tetapi bulan demi bulan, tahun berganti tahun. Suami tidak pernah berubah.
Anak-anak semakin membesar dan perlahan-lahan membina tembok dengan bapa mereka.
Menurut Amelia, dia mula perasaan anak-anak tidak lagi menunggu mahupun bertanya bapa mereka seperti dahulu. Kemuncak konflik berlaku apabila keluarga mereka sendiri menghadapi masalah kewangan dan membuatkannya hampir putus asa.
Ketika beberapa keperluan besar perlu diselesaikan, ada perkara dirahsiakan suami. Rupa-rupanya suami menggunakan wang simpanan mereka untuk membantu orang lain.
“Saya benar-benar marah dan kecewa pada ketika itu. Saya bukan marah dia membantu orang lain, tetapi kerana keutamaan kami seolah-olah sentiasa berada di tempat kedua.
“Selama ini saya boleh bersabar apabila suami tidak hadir dalam majlis melibatkan anak-anak di sekolah, boleh menerima apabila masa bersama keluarga dikorbankan. Tetapi kali ini berbeza,” ujarnya.
Menyambung cerita kata Amelia, sampailah pada suatu hari Allah mengujinya jatuh sakit.
Bukan sakit yang serius tetapi mengalami demam sehingga tidak mampu menguruskan diri dan anak-anak.
Ketika itulah buat pertama kali sepanjang perkahwinan, dia melihat seorang lelaki yang selama ini begitu yakin bahawa sedang melakukan perkara yang betul, akhirnya sedar.
Suami mula sedar nilai kehadiran keluarga apabila isteri sendiri jatuh sakit dan terpaksa berdepan dengan kesunyian yang selama ini dirasai oleh isteri dan anak-anak.
Suami menyedari niatnya yang baik selama ini juga boleh meninggalkan luka.
Selama ini suami terlalu sibuk mendengar masalah orang lain sampai tidak sempat mendengar masalah keluarga sendiri.
Sejak hari itu, kata Amelia suaminya berubah. Bukan lagi menjadi lelaki yang pentingkan diri sendiri.
“Suami masih membantu orang. Cuma suami sudah tahu menjaga batas dan keutamaan.
Kalau ada orang meminta pertolongan ketika sedang meluangkan masa bersama saya dan anak-anak suami menolak dengan alasan bersama keluarga.
“Saya melihat perubahan itu. Walaupun tidak secara mendadak, tetapi saya amat-amat bersyukur dan gembira,” ujarnya.
Kata Amelia lagi, dia tidak mahu suami berhenti menjadi orang baik. Apa yang dia mahukan agar suami memahami menjadi baik kepada orang lain tidak seharusnya membuatkan orang-orang yang paling dekat dengannya terluka.
Ujar Amelia, hari ini dia melihat perubahan itu apabila anak-anak yang semakin membesar mula rapat dengan bapa mereka. Situasi itulah yang ditunggu-tunggukan selama ini.
“Bagi orang lain mungkin nampak kecil, tetapi itulah kebahagiaan saya dan anak-anak nantikan,” ujarnya.
Banyak pengajaran yang boleh diambil daripada kisah Amelia pada minggu ini. Kisah ini mengajar kita menjadi orang yang baik kepada orang lain itu sesuatu perkara mulia, tetapi jangan sampai keluarga sendiri berasa terpinggir.
Anak dan isteri adalah amanah daripada Allah SWT. Jangan kerana sibuk memenuhi keperluan orang lain sehingga mengabaikan kasih sayang dan perhatian kepada keluarga sendiri.
Mereka bukan sahaja tanggungjawab untuk diberi nafkah, tetapi untuk dijaga dengan kasih sayang dan perhatian. Terdapat banyak ayat al-Quran yang sering dikaitkan dengan tanggungjawab dan amanah suami terhadap isteri dan anak-anak.
Sebagaimana Firman Allah SWT, “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kami dari neraka yang bahan bakarnya adalah manusia dan batu” (Surah at-Tahrin, ayat 6).











